TANGKAP layar rakaman video tular di media sosial. FOTO video tular
TANGKAP layar rakaman video tular di media sosial. FOTO video tular
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Polis sudah menahan buruh binaan warga asing yang membuang pelbagai barangan dari tingkat 15 pangsapuri di Bukit Jambul di sini seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian 9.30 malam kelmarin itu berlaku kerana suspek berusia 37 tahun ada masalah dengan teman wanitanya.

"Kekasih suspek yang juga warga asing tinggal pangsapuri berkenaan, mereka tidak tinggal bersama. Suspek membuang barangan di unit pangsapuri yang disewa wanita itu.

"Suspek dilapor menjerit-jerit dan barang yang dibuangnya turut mengenai gerai makan di pekarangan pangsapuri itu sebelum peniaga premis berkenaan membuat laporan pada 12.40 tengah malam kelmarin. Akibat insiden itu, kelengkapan perniagaan peniaga itu rosak," katanya kepada pemberita ketika sidang media, hari ini.

Menerusi video berdurasi 33 saat itu, lelaki berbaju merah terbabit dirakam mencampak objek seperti kerusi plastik, kipas angin dan periuk nasi dan didakwa berada dalam keadaan mabuk.

Bagaimanapun Soffian berkata, suspek tidak mabuk dan ujian air kencing turut mendapati dia bebas pengaruh dadah namun dia direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

"Dia tidak mabuk mungkin cuma 'mabuk cinta' dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat.

"Polis menasihati orang ramai agar tidak menularkan rakaman video terbabit untuk mengelakkan sebarang spekulasi," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 5:24 PM