GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menafikan dakwaan pasangan kekasih meminta mereka menarik balik laporan polis yang dibuat berkaitan dakwaan disamun di Bangsar sehingga tular di media sosial.

Malah siasatan polis tidak berlaku kejadian samun terbabit dan individu terbabit didapati membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menyedari satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter pada 2.24 petang hari ini.

Menurutnya, kenyataan itu berkaitan layanan siasatan pihak polis terhadap pasangan kekasih yang mendakwa disamun di Bangsar dan dipaksa oleh pihak polis menarik semula laporan yang dibuat.

"Kenyataan ini tular di media sosial dengan mendapat 508 tanda suka, 62 komen dan 537 ulang ciap.

"Pada jam 4.15 petang semalam, seorang lelaki warga Pakistan berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa disamun oleh sekumpulan lelaki.

"Kejadian berlaku pada 2 pagi semalam semasa lelaki itu sedang merokok di kaki lima yang terletak di Jalan Telawi 3 Bangsar," katanya dalam kenyataan malam ini.

Amihizam berkata, lelaki terbabit mendakwa sekumpulan lelaki meminta wang dan memukulnya di bahagian muka lalu mengambil barangan peribadi pengadu berupa sebentuk cincin perak, rantai leher emas, telefon bimbit I-Phone dan wang tunai bernilai RM6,000.

"Bagaimanapun hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiada kejadian samun atau pertengkaran seperti dinyatakan lelaki terbabit.

"Rakaman CCTV juga menunjukkan dia bersama dua wanita sedang menyeberang jalan dari hadapan sebuah bank di Jalan Telawi ke tempat letak kereta dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa," katanya.

Beliau berkata, keterangan awalnya kepada pihak polis pula didapati ada keraguan dan tidak konsisten.

"Berdasarkan keterangan saksi, polis hadir bagi menyuraikan beberapa pelanggan yang menjerit-jerit kerana mabuk di kelab yang dikunjungi oleh lelaki Pakistan terbabit pada hari kejadian.

"Namun, CCTV tidak memaparkan sebarang kejadian samun atau pertengkaran yang membabitkan dia dan teman wanitanya di lokasi kejadian," katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis sudah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan menuduh suspek mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 10:29 PM