Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Pelancaran Tawaran Kita Selangor 5 Tekad untuk 5 Tahun di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Pelancaran Tawaran Kita Selangor 5 Tekad untuk 5 Tahun di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Mohd Iskandar Ibrahim


Sepang: Di atas kertas, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Sungai Tua dijangka kekal dengan status quo dan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Keupayaan calonnya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengekalkan kerusi yang dianggap kubu kuat PH itu sudah tentu dilihat sebagai perkara mudah baginya.

Ini kerana beliau berjaya mempertahankan kawasan dimenanginya tiga penggal berturut-turut sejak mula bertanding di situ pada 2008.

Bagaimanapun, sebagai penyandang, Amirudin dijangka berdepan saingan sengit selepas dicabar dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin serta calon Bebas, Suman Gopal.

Hanif adalah Setiausaha Dewan Pemuda Pas manakala Suman pula pernah bertembung dengan Amirudin dan seorang calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi DUN Batu Caves.

Senario dan perkembangan politik tanah air pasca Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) hujung tahun lalu terutama dengan dakwaan kebangkitan gelombang pembangkang.

Malah, kehadiran pengundi muda susulan pelaksanaan Undi18 dijangka memberi kesan kepada Amirudin selepas menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 11,374 undi menewaskan tiga pencabar lain.

Sebagai penyandang, Amirudin yakin beliau tetap mendapat sokongan majoriti pengundi dan memiliki kelebihan selepas 15 tahun menabur khidmat bakti sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN Sungai Tua.

"Sebenarnya dalam tempoh 15 tahun saya menjadi wakil rakyat di Dun Sungai Tua, mungkin saya ada sedikit kelebihan kerana rakyat dah agak kenal saya di sana.

"Namun, dalam kalangan pengundi muda, sudah pasti mereka mungkin baharu dan tidak berapa menyedari dengan situasi di kawasan sekeliling," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Hak Milik Individu Taman Putra Perdana (Plot J) di Dewan Komuniti Putra Perdana di sini, tadi.

Amirudin berkata, sudah pasti gerak kerja kempennya akan digandakan untuk meraih sokongan pengundi di semua peringkat terutama dalam kalangan pengundi muda.

"Gerak kerja kempen masih diteruskan dan kita yakin masih mendapat sokongan cuma kita tidak mengambil mudah serta tidak berasa begitu selesa setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 3:07 PM