Hanif bergambar bersama penduduk ketika berkempen bagi Dun Sungai Tua. FOTO NSTP
Hanif bergambar bersama penduduk ketika berkempen bagi Dun Sungai Tua. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Gombak: Memasuki minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), keyakinan calon underdog (bukan pilihan) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tua, Hanif Jamaluddin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) kekal kukuh untuk merebut kerusi itu, Sabtu ini.

Hanif yang juga Setiausaha Dewan Pemuda Pas mengakui lawannya bukan saingan mudah iaitu calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang pastinya akan berjuang mempertahankan kawasan dimenangi sejak tiga penggal berturut-turut pada 2008.

Hanif berkata, beliau sendiri menyedari perkara itu, namun itu bukan penghalangnya untuk terus menawan hati pengundi di kawasan Dun Sungai Tua sejak kempen bermula dan menonjolkan dirinya supaya dikenali masyarakat setempat.

Menurutnya, pasukannya menyusun strategi secara akar umbi untuk turun padang secara menyeluruh mendengar denyut nadi rakyat segenap lapisan dan kaum dengan membawa inspirasi parti bagi membela rakyat keseluruhannya.

"Peringkat awal kita bertemu seramai mungkin masyarakat dan kita ada lebih kurang 50,000 pengundi di sini sama ada kaum Melayu, India, Cina dan sebagainya jadi kita pergi ke rumah, kedai dan beberapa tempat untuk memperkenalkan calon serta tawaran yang dibawa untuk warga Sungai Tua.

"Saya memang memerlukan kerja keras berbanding Datuk Seri Amirudin yang dia duduk di mana pun orang kenal berbanding saya jadi strategi kita memperhebatkan pertemuan dengan orang ramai, di media (sosial) dan Alhamdulillah rakyat sudah mengenali kita," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Berbaki kurang lima hari menjelang hari pengundian 12 Ogos ini, Hanif mengakui gerak kerja kempen pasukannya sudah memasuki 'gear' pecutan terakhir untuk menyelami akar umbi dengan tawaran daripada PN seandainya parti itu menang.

"Setakat ini masyarakat menyatakan keterujaan dengan tawaran berkenaan dan dalam pecutan terakhir kita tetap teruskan gerak kerja bertemu seramai mungkin masyarakat secara menyeluruh dan berusaha memberi yang selayaknya.

"Kita menawarkan khidmat bakti untuk masyarakat Dun Sungai Tua, mendengar keluhan masalah mereka dan meneliti aduan untuk diselesaikan selepas kita berjaya nanti (merampas kerusi Dun itu sekali gus Selangor)," katanya.

Selain Amirudin, kerusi Dun Sungai Tua akan direbut Hanif dan seorang calon bebas, Suman Gopal pada PRN Selangor, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:49 PM