Mahani Ishak


Gombak: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberikan sokongan kepada tiga calon blok kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) pada Himpunan Perpaduan Gombak yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tua, Hulu Kelang dan Gombak Setia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Kerusi Sungai Tua ditandingi Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; sementara Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli bersaing merebut kerusi Hulu Kelang dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia.

Difahamkan yang turut mengiringi Anwar yang Pengerusi PH, ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta kepemimpinan tinggi parti PKR dan Umno berarak bersama calon dan penyokong ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak hari ini.

Amirudin bakal berdepan saingan satu lawan satu berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin yang juga Setiausaha Dewan Pemuda Pas.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua selama tiga penggal dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, beliau memperoleh majoriti 11,374 undi.

Calon PH itu menang dengan mendapat 17,446 undian ketika menentang Datuk N Rawisandran daripada BN yang mendapat 6,072 undi serta dua lagi calon Ustaz Mad China (Pas) dan Badrul Acong Bebas), masing-masing memperoleh 4,530 dan 268 undi.

Parlimen Gombak antara paling mendapat perhatian dalam PRN Selangor berikutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara nama besar mengesahkan bertanding kerusi Hulu Kelang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 9:31 AM
ANWAR bersama calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Sg Tua, Datuk Seri Amirudin Shari dan Calon Dun Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berarak ke Pusat Penamaan Calon bagi Dun Sg Tua dan Dun Gombak Setia di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak. FOTO Aswadi Alias
ANWAR bersama calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Sg Tua, Datuk Seri Amirudin Shari dan Calon Dun Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berarak ke Pusat Penamaan Calon bagi Dun Sg Tua dan Dun Gombak Setia di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak. FOTO Aswadi Alias