OTHMAN (dua dari kanan) melihat simulasi proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
OTHMAN (dua dari kanan) melihat simulasi proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Norzamira Che Noh


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan menambah 21 saluran pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ogos ini.

Timbalan Pengerusinya Tan Sri Othman Mahmood berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, sebanyak 88 saluran disediakan dan berlaku kesesakan berikutan jumlah pengundi yang ramai.

“Justeru, untuk penambahbaikan dan memudahkan pengundi, SPR tambah 21 saluran lagi menjadikan 109 saluran.

“Selain penambahan saluran, SPR juga memanjangkan tempoh mengundi selama 30 minit iaitu bermula dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Penamaan Calon PRK DUN 49 Sungai Kandis di Dewan Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, tempoh berkempen adalah dua minggu dan diharapkan calon yang bertanding menggunakan tempoh berkenaan sebaik mungkin serta berkempen secara berhemah.

Katanya, seramai 865 petugas akan bertugas sepanjang PRK itu, dan sebahagian besar petugas sudah mempunyai pengalaman pada PRU yang lalu.

“Justeru, saya tidak nampak petugas menjadi masalah besar kerana mereka masing-masing sudah cekap dalam tugas mereka.

“Seramai 69 pemerhati juga akan terbabit dalam PRK imi untuk memastikan ia telus, sempurna dan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Othman turut berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan menjelang proses penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Kandis akan dijalankan, esok.

“Proses penamaan akan bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 10 pagi. Saya juga berharap agar proses berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan,” katanya.

Selain itu katanya, bilangan pengundi yang layak mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis juga meningkat daripada 50,800 orang pada PRU-14 kepada 51,230 orang iaitu penambahan sebanyak 430 orang.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas penyandang, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Sehingga kini, dua parti politik sudah mengumumkan calon iaitu PKR menampilkan Mohd Nawawi Ahmad Mughni, manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Datuk Lokman Noor Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 8:11 PM