DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Ahli dan penyokong Pas diingatkan supaya tidak terlalu terpesona dan yakin dengan kekuatan parti sendiri sehingga memandang rendah parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sikap itu boleh menjejaskan peluang gabungan Pas dan Bersatu untuk memenangi lebih banyak kerusi seterusnya mengekalkan penguasaan di Terengganu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ahli dan penyokong tidak boleh terlalu selesa terutama apabila melihat kehadiran penyokong yang ramai pada setiap program termasuk ketika penamaan calon.

"(Sebagai contoh) kalau di tempat saya di Dun (Dewan Undangan Negeri) Ru Rendang, katakanlah 40 orang sahaja yang hadir, namun begitu, jangan terpesona dengan kekuatan kita sehingga kita lena, jangan tertipu dengan kelemahan lawan kita.

"Kita rasa lawan kita lemah, tutup bilik gerakan, tak buat ceramah, tak buat kempen rumah ke rumah, tak buat apa-apa, jangan kita tertipu, kita terus buat kerja kita, atasi kelemahan kita sehingga saat yang terakhir," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah Mega Pengenalan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dan PRN di Kuala Ibai di sini malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga calon kerusi DUN Ru Rendang berkata, gabungan itu mensasarkan memenangi kesemua 32 kerusi DUN dan satu kerusi PRK Parlimen Kuala Terengganu.

"Kalau pilihan raya yang sebelum ini kita tak pernah ada matlamat untuk capai 32-0 tetapi kenapa kali ini kita menyebut 32-0.

"(Hal ini kerana) kita merasakan objektif dan matlamat itu tidak mustahil dicapai...kita tengok keputusan PRU-15 dulu, ia adalah munasabah dan boleh dicapai.

"Apa yang boleh kita buat bermula bermula daripada saat penamaan calon sehingga sampai ke garis penamat iaitu jam 5 petang pada 12 Ogos ini, dekati dan yakinkan pengundi walaupun berlainan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 12:27 PM