Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekali lagi mengingatkan semua calon dan penyokong berkempen secara matang serta sihat sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, kempen-kempen keras, kasar dan maki hamun perlu dihentikan bagi melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni.

"Saya rasa sangat penting untuk kita di Terengganu khususnya menunjukkan satu kaedah kempen dan pertandingan pilihan raya yang sangat harmoni berbanding dengan suasana pada zaman dahulu.

"Contohnya hari ini (proses penamaan calon) sebenarnya diikuti di seluruh negara baru kita boleh melahirkan sebuah masyarakat yang lebih harmoni.

"Sebab kempen-kempen yang keras, kasar (dan) penuh maki hamun tidak membina masyarakat dan masyarakat sebenarnya memerlukan pemimpin untuk membina mereka bukan untuk meruntuhkan mereka," katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan borang penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Marang di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika tiba di Pusat Penamaan Calon sempena Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) di Pejabat Daerah dan Tanah Marang. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika tiba di Pusat Penamaan Calon sempena Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) di Pejabat Daerah dan Tanah Marang. FOTO GHAZALI KORI

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga calon PN dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Suhaimi Sulaiman di kerusi DUN Ru Rendang pada PRN, 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, PN yakin dapat mengekalkan kemenangan di Terengganu dengan sasaran lebih banyak kerusi termasuk memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Beliau berkata, semua parti yang memasuki apa juga pertandingan menginginkan kemenangan termasuk PN yang sebolehnya mahu memenangi semaksima kerusi DUN di Terengganu dan kerusi di PRK Parlimen Kuala Terengganu.

"Memang kita masuk pilihan raya ini sasarannya untuk menang dan kita menjadikan sasaran untuk memenangi keseluruhan kerusi.

"Saya berharap jentera bekerja ke arah itu dan momentum yang dilihat pada waktu ini Alhamdullilah ke arah itu, Insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 1:28 PM