Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Dr Ahmad Said
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Dr Ahmad Said
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said dijangka kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dijangka kekal bertanding mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu pula dijangka bertanding mempertahankan kerusi DUN Kijal dimenangi sejak 1990.

Pada PRU14, Ahmad Samsuri yang juga bekas setiausaha politik kepada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang selama 10 tahun sejak 2008 hingga 2018 memenangi kerusi dengan majoriti sebanyak 6,028 undi.

Ahmad Samsuri memperolehi sebanyak 13,851 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang memperoleh 7,823 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) Zarawi Sulong (729 undi).

Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pula memenangi kerusi disandangnya itu sejak 1990 dengan majoriti sebanyak 1,265 undi menewaskan calon Pas Hazri Jusoh (8,280 undi) dan calon PH Wan Marzuki Wan Sembok (1,472 undi) pada PRU14.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri ketika diajukan soalan mengenai kedudukannya pada PRN nanti memaklumkan berjawatan sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti tidak semestinya akan terpilih secara automatik sebagai calon.

Menurutnya, keputusan sama ada namanya tersenarai sebagai calon akan ditentukan jawatankuasa tertinggi parti selepas tapisan dilakukan Majlis Syura Ulamak Pas," katanya.

Sementara itu, Ahmad (Said) juga memaklumkan, keputusan sama ada tersenarai sebagai calon akan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umn.

Katanya, senarai calon yang akan bertanding sedang diperhalusi oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 3:08 PM