Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ditentang calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Ia diumumkan Pegawai Pengurus DUN Ru Rendang Lizan Che Mat pada 10.12 pagi.

PH diwakili Suhaimi Sulaiman daripada parti Amanah, manakala Pas diwakili Ahmad Samsuri yang juga penyandang kerusi berkenaan.

Suhaimi diiringi pencadang, Marina Endut dan penyokong, Mazlan Sulong, manakala Ahmad Samsuri diiringi pencadang, Wan Nelang Abd Rahman dan penyokong, Aziz Mohamed.

Suhaimi menyerahkan borang pencalonan pada 9.05 pagi, manakala Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas menyerahkan borang berkenaan pada 9.20 pagi.

Terdahulu, Suhaimi tiba di Pejabat Daerah dan Tanah Marang di sini, pada 8.40 pagi bersama lebih 100 penyokong.

Ahmad Samsuri yang berbaju Melayu putih pula tiba di pusat penamaan calon pada 9.15 pagi bersama lebih 2,000 penyokong.

Ahmad Samsuri yang bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Pada PRU14, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawi Sulong (729 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 11:46 AM