Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua, hari ini.

Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini, pada 3.18 petang.

Ahmad Samsuri, 53, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu dilantik semula ke jawatan itu selepas PN memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas sebelum ini dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018 selepas Pas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada PRN 2023, Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi Dun Ru Rendang yang disandangnya sebelum ini selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman.

Ahmad Samsuri memperoleh 20,927 undi mengalahkan Suhaimi yang mendapat 3,641 undi dengan majoriti 17,286 undi.

Pada PRU-14, beliau yang pertama kali bertanding di kerusi Dun Ru Rendang menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Ahmad Samsuri memenangi kerusi Dun Ru Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon PKR, Sarawi Sulong (729 undi).

Selain pelantikan Ahmad Samsuri, Sultan Mizan turut memperkenankan pelantikan 10 Exco kerajaan negeri termasuk seorang Adun daripada Bersatu.

Pada PRN Sabtu lalu, Pas kekal mentadbir kerajaan negeri selepas menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dun di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 4:13 PM