Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti mengenai kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahmad Samsuri berkata, beliau akur dengan apa sahaja keputusan yang diputuskan pucuk pimpinan sama ada dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen.

"Saya serah kepada kepimpinan (untuk buat keputusan) sebab bagi mana-mana ahli DUN atau ahli Parlimen di dalam PAS, ia adalah keputusan parti (dan) bukan keputusan individu.

"Malah, kerusi itu sendiri bukan kerusi penyandang atau kerusi milik individu parti, jadi serah pada parti (untuk buat keputusan).

"Saya juga serah kepada parti (jika dicalonkan ke parlimen) dan saya rasa semua orang pun begitu dan sebagai orang parti, terpulang pada parti walau apa juga sekali pun (keputusan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

AHMAD Samsuri (tengah) bersama pelajar yang menerima biasiswa pada Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Luar Negara. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (tengah) bersama pelajar yang menerima biasiswa pada Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Luar Negara. FOTO Ghazali Kori

Mengenai pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) yang dilaporkan hampir selesai antara parti-parti komponen di dalam gabungan berkenaan, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang enggan mengulas lanjut dan memaklumkan perkara itu akan dimuktamadkan apabila tiba masanya.

"(Pasal kerusi), itu biasa (sebab kadang kala) esok penamaan calon malam pun kadang-kadang tak selesai lagi, jadi benda ini sangat dinamik walaupun kita kata sudah selesai akan ada perkara kecil yang perlu kita selesaikan tetapi pada saya, Insya Allah, kita dengan iltizam yang ada, kita boleh selesai.

"Saya tak boleh nak sebut berapa peratus sebab peratus ini nak kena kira dahulu tetapi secara asasnya, Insya Allah, dengan batu tanda yang ada, kita boleh selesai (dan) bila hari penamaan calon itu, semua sudah selesai," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, parti itu akan meneruskan agenda mempertahankan perpaduan ummah bagi membina kerajaan yang lebih stabil.

"Saya selalu sebut mempertahankan perpaduan ummah, jadi walau apa juga nama, cara dan yang boleh kita buat, kita akan cuba usahakan tidak kira nama dia MN (Muafakat Nasional) ke PN ke atau apa sahaja nama atau gagasan.

"Yang paling penting adalah perpaduan ummah itu mampu dicapai untuk memperoleh kerajaan yang lebih stabil kerana Malaysia kalau mahu bergerak ke hadapan dengan cepat berbanding dengan jiran-jiran yang sudah mula bergerak jauh tidak ada cara lain, kita perlu kestabilan politik dalam negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 5:02 PM