MUHAMMAD Sanusi. FOTO Syaharim Abidin.
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Syaharim Abidin.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak berkuasa yang mahu melakukan apa sahaja siasatan ke atas pentadbirannya.

"Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada apa saja penyiasatan pihak berkuasa.

"Saya sebut banyak kali sejak jadi Menteri Besar, saya dan pejabat saya dibuka untuk disiasat SPRM atau mana-mana agensi.

"Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu, boleh hubungi saya melalui WhatsApp kalau saya tak sempat jawab panggilan telefon," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah memanggil 12 orang saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan mencuri REE di Kedah.

Katanya, semua saksi yang dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dengan beberapa lagi saksi termasuk Muhammad Sanusi akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

Kelmarin, SPRM menahan ketua pegawai Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan perlombongan melibatkan jumlah rasuah lebih RM13 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 5:49 PM