GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang dipercayai dilakukan secara tidak sah serta menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Menurut sumber, isu perlombongan haram dan kerugian hasil bumi ini diadukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan pada Mac lalu dan penduduk di kawasan terbabit.

"Baru-baru ini, beberapa individu tampil dan membuat aduan rasmi kepada SPRM bagi menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah membabitkan seorang menteri besar hasil selepas satu surat tular berkaitan permohonan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri yang kononnya bagi projek usaha sama antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat tempatan dan syarikat China," katanya.

Sumber itu berkata, SPRM pernah membuka kertas siasatan berhubung isu perlombongan haram REE itu pada awal tahun ini dan dikatakan sudah memanggil beberapa saksi namun tidak diketahui sejauh mana kertas siasatan itu berjalan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, ia termasuk kertas siasatan dibuka pada Mac lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah SPRM akan memanggil menteri besar terbabit dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 5:59 PM