Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ada plot besar dirancang untuk memburukkan imejnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi yang cuba mengaitkan beliau dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menteri Besar Kedah itu berkata, setakat ini beliau belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hanya mengetahui mengenai dakwaan itu melalui akhbar.

"Saya belum dikunjungi SPRM lagi, saya baca kenyataan di akhbar rupa-rupanya akhbar sudah mendahului proses. Saya pun hairan juga macam mana tajuk itu boleh keluar?

"Saya rasa ada satu plot yang besar dirancang untuk memburukkan imej saya, memberi gambaran bahawa saya ini orang yang bermasalah, disiasat oleh macam-macam agensi, sedangkan sebenarnya benda itu tak berlaku.

"Saya difahamkan adalah SPRM menyiasat MBI (Perbadanan Menteri Besar), bukan Menteri Besar," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan REE.

Muhammad Sanusi menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan kes kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik termasuk berkaitan kemasukan pekerja asing.

"Satu-satunya perkara yang di brainstorm untuk mengaitkan salah laku di Kedah ini adalah REE. Kalau saya tahu orang curi tentu saya tangkap. Nama pun kecurian tentulah orang tak tahu.

"Tak akan saya nak curi barang di negeri saya sendiri, lebih baik saya curi di negeri lain. Itu naratif yang sedang dibina, keluar saja tajuk (berita) semalam itu saya tahu dah. Proses tak berlaku tapi perintah keluar. Pasal apa? Tentu ada sesuatu," katanya.

MUHAMMAD Sanusi ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah hari ini. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah hari ini. FOTO Syaharim Abidin

Mengulas mengenai surat dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini untuk mendapatkan pas lawatan khas bagi kemasukan pekerja REE dari China, Muhammad Sanusi berkata, surat itu ditulis untuk membawa pakar bagi tujuan penjelajahan dan penyediaan awal eksplorasi REE.

Katanya, usaha sama yang dilakukan antara MBI Kedah dan syarikat kerjasama Prospek Suria bagi tujuan eksplorasi berlaku sebelum beliau menjadi Menteri Besar pada Mei 2020 lagi.

"Benda itu kita teruskan bila dia (syarikat) dapat lesen jelajah dia nak bawa masuk (pekerja) untuk memulakan exploration (penjelajahan), dia perlu pakar. Masa itu COVID-19, tak ada siapa boleh masuk, pintu negara kita tutup, pintu negara China pun tutup.

"Jadi untuk memastikan boleh berlaku pergerakan kemasukan pakar itu dia perlu kepada surat sokongan. Dia minta sokongan kita, jadi kita sokong surat itu tuju kepada KDN, pada masa itu KDN yang buat keputusan, bukan saya.

"Bukan kerana surat itu tiba-tiba saya jadi pencuri, takkan jauh begitu kaitannya. Ini satu-satunya komplot jahat yang sedang dimainkan membabitkan tokoh tertinggi negara untuk mengenakan pihak tertentu di Kedah," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau difahamkan Cawangan Khas, Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram dan SPRM sudah memasuki pejabat MBI bagi melakukan siasatan.

"Kerja Kerajaan Madani kini adalah menyelongkar dan mencari salah orang, walaupun kesalahan itu sudah dikompaun dan dilaksanakan.

"Proses ini dibuat agensi dan jabatan kerajaan. Sudah tangkap dan dakwa (pihak terbabit), tapi dibuat supaya berlaku satu lagi proses untuk mengaitkan kegiatan ini dengan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 4:43 PM