MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
New Straits Times

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil Muhammad Sanusi dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, siasatan terhadap isu REE yang sedang berjalan hampir selesai.

"Semua orang bertanya bila kami akan mendakwa tetapi pegawai penyiasat saya perlu menyiasat semua aspek termasuk menyoal siasat saksi dan lain-lain. Antara perkara yang perlu kita teliti ialah orang yang berkuasa yang meluluskan perlombongan itu.

"Kalau tak silap saya, itu bukan kuasa negeri. Ia kuasa Persekutuan. Dari segi negeri dan persekutuan kita perlu lihat bagaimana mereka menguruskannya, macam mana kerajaan negeri mencadangkannya kepada kerajaan persekutuan untuk kelulusan dan dasar Kerajaan Persekutuan. Kita perlu meneliti semua perkara ini," katanya kepada New Straits Times.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat warga China, So Loi Fatt yang datang ke Malaysia didakwa mempunyai kaitan dengan kecurian REE.

"Kami mengambil kira perkara itu dalam siasatan kami mengapa mereka masuk ke Malaysia dan dari mana mereka datang. Adakah mereka benar-benar di sini (Malaysia) untuk meneroka atau mereka datang ke sini untuk perlombongan haram? "Kami juga perlu menyemak apa yang dilakukan pihak berkuasa. Adakah mereka sedang tidur?" katanya.

Katanya, SPRM juga perlu berlaku adil kepada Muhammad Sanusi dan menyemak semua dakwaan termasuk rakaman video beliau yang didakwa keluar dari tempat kejadian hingga mengaitkan beliau terbabit dalam ketirisan itu.

"Kita perlu menyemak itu, jika ia benar, maka tidak mengapa. Bagaimana jika itu tidak benar? Itu adalah tugas penyiasat untuk meneliti semua perkara ini," katanya.

Azam berkata, SPRM juga menggunakan budi bicaranya untuk tidak memanggil Muhammad Sanusi semasa tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada 18 Julai lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa Muhammad Sanusi berhubung perlombongan REE, yang dipercayai dijalankan secara haram dan mengakibatkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Beberapa kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 17 (A) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan selain meneliti Seksyen 7 Akta Pencegahan Rasuah 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:59 PM