Zuraini Kamal (kanan) menyampaikan sumbangan barangan kepada Shukor Ali (dua dari kanan) yang kehilangan ibunya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuraini Kamal (kanan) menyampaikan sumbangan barangan kepada Shukor Ali (dua dari kanan) yang kehilangan ibunya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: "Keadaan kesihatan emak semmakin merosot disebabkan barah yang dihidapinya makin merebak sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya, semalam," kata Shukor Ali, 25.

Shukor adalah anak kepada pesakit barah payu dara, Sofiah Yusof, 54, yang meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, di sini pada 11.30 pagi.

Kisah Sofiah pernah disiarkan di akhbar ini pada 20 Mei lalu apabila dua anaknya yang berusia 12 dan 15 tahun sanggup menjaganya sejak dikesan menghidap barah itu pada Februari lalu.

Sejak kisah itu disiarkan, Cancer Survivors Malaysia (CSM) membantu keluarga itu dengan membayar bil elektrik yang tertunggak serta membaiki semula rumah mereka yang reput.

Hasrat Sofiah untuk tinggal di rumah yang baharu dibaiki dan lebih selesa termakbul hasil sumbangan daripada pihak CSM.

Shukor berkata, keadaan kesihatan ibunya merosot pada hari raya ketiga Aidiladha dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani rawatan.

"Keadaannya beransur pulih dan dibenarkan keluar hospital, namun dia mengalami sesak nafas ketika di rumah.

"Emak sepatutnya menjalani rawatan kemoterapi pada 12 Julai ini tetapi saya dimaklumkan barah yang dihidapinya sudah merebak ke jantung.

"Saya reda dengan ketentuan takdir Allah apabila emak akhirnya pergi buat selamanya," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan kepada 60 pesakit barah di sekitar Kuala Kedah sumbangan CSM, di sini hari ini.

Katanya, jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Rotan, di sini selepas selesai solat Asar.

Shukor berkata, dia sanggup berhenti kerja sebagai eksekutif teknologi maklumat (IT) di Selangor dan akan menetap di sini untuk menjaga dua adiknya, Siti Aisyah, 15, dan Muhammad Aliff Adam, 12.

Katanya, kini dia akan menggalas tugas sepenuhnya menjaga dua beradik itu memandangkan kedua-duanya masih bersekolah.

"Insya-Allah saya akan mencari kerja di sini selepas segala urusan di Selangor selesai demi menjaga adik-adik serta rumah pusaka ibu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada CSM serta pembaca akhbar ini yang menghulurkan sumbangan untuk arwah emak, selain membaiki rumah yang rosak," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 3:18 PM