SHUKOR (kanan) mahu rakan sepasukan usah gentar beraksi di Kedah.
SHUKOR (kanan) mahu rakan sepasukan usah gentar beraksi di Kedah.
Devinder Singh


SHUKOR Adan sudah mengecapi pelbagai kejayaan dalam kancah bola sepak profesional tetapi bagi pemain tengah FELDA United itu, masih ada kerja yang belum diselesaikan.

Bekas kapten kebangsaan berusia 38 tahun ini kini begitu hampir untuk melangkah ke final Piala Malaysia buat kali kelapan selepas FELDA mengikat juara bertahan Kedah 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Jengka Ahad lalu.

Malah jika dia dapat menjulang trofi paling berprestij Liga Malaysia itu buat kali kelima pun, ia masih belum mampu mempengaruhi Shukor untuk meletakkan noktah dalam kariernya.

“Selagi saya sihat dan cergas untuk bermain, saya akan terus bermain,” kata Shukor yang belum mahu memikirkan soal persaraan.

“Bagi saya usia hanyalah sekadar angka. Jika saya masih boleh berlari di atas padang, saya akan meneruskannya.”

Pengendali FELDA B Sathianathan antara individu yang mengagumi kepimpinan dan disiplin Shukor, dan tidak ada sebab untuk dia tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.

“Kenapa Shukor mampu bertahan begitu lama? Ini kerana dia seorang pemain yang berdisiplin dan tidak ada pemain lain yang tampil untuk mencabar posisinya,” kata Sathianathan.

Shukor, dua kali memenangi Piala Malaysia bersama Selangor (2002 dan 2005) dan Negeri Sembilan (2009, 2011), berharap dapat membantu FELDA menjuarai trofi itu buat pertama kali.

“Keputusan seri lebih baik berbanding kalah, jadi kami tidak rugi apa-apa pada aksi kedua nanti,” kata Shukor.

“Kami sedar Kedah pasukan yang kuat, mereka adalah juara bertahan dan mara ke final sejak dua tahun lalu.”

“Saya yakin dengan skuad yang kami ada dan kata-kata semangat daripada jurulatih, kami akan berjuang habis-habisan untuk mencipta sejarah buat FELDA dan mara ke final buat julung kalinya.”

“Kami mempunyai baki 90 minit di Alor Setar dan kami akan memberikan komitmen penuh seperti yang kami lakukan dalam perlawanan pertama.”

Dalam perlawanan berkenaan, Hadin Azman menjaringkan gol penyamaan tiga minit sebelum tamat permainan selepas Sandro Mendonca menyempurnakan sepakan penalti minit ke-62 buat Kedah.

Shukor pasti tidak mahu skrip separuh akhir 2015 berulang di mana Kedah menafikan tiket ke final buat FELDA apabila memenangi aksi timbal balik di Alor Setar 2-1, selepas seri 2-2 pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:24 PM