Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Sudah menjadi rutin harian, Muhamad Safwan Mohd Rani, 17, menggalas tanggungjawabnya sebagai anak tunggal untuk menguruskan ibunya setiap hari yang terlantar akibat barah otak tahap empat.

Walaupun bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, namun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang itu tetap membahagikan masa belajar untuk menjaga ibunya, Azura Sofian Lim, 42.

Menurut Muhamad Safwan, ibunya dikesan menghidap barah otak pada tahun 2020 selepas beberapa kali diserang sawan secara tiba-tiba.

Katanya, selepas menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer di hospital, doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan di bahagian kanan kepala ibunya sebelum menjalani rawatan susulan.

"Setakat ini emak sudah tiga kali menjalani pembedahan di kepala menyebabkan dia sebelah kiri badannya diserang angin ahmar dan tidak dapat berjalan.

"Dia hanya terlantar di atas katil dan sejak itulah juga saya menjaga emak dan mengusungnya ke bilik air untuk mandi serta menukar lampin pakai buang setiap hari.

SAFWAN mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi SPM tahun ini walaupun menjaga ibunya yang mengidap barah otak tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SAFWAN mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi SPM tahun ini walaupun menjaga ibunya yang mengidap barah otak tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Kalau saya ke sekolah, nenek, Che Kamah Taib, 71, atau datuk, Sofian Lim Abdullah, 74, akan menjaga emak sehingga saya pulang," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kobah, di sini hari ini.

Dua beranak itu yang sebelum ini menetap di Ipoh, Perak berpindah ke Kobah untuk memudahkan Azura mendapatkan rawatan setiap bulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Menurut Muhamad Safwan, luka pembedahan di kepala ibunya belum sembuh menyebabkan dia perlu membersihkannya setiap hari.

Katanya, datuk dan neneknya tidak bekerja kerana sudah uzur dan kini dia berharap bantuan daripada ibu dan bapa saudaranya untuk meneruskan persekolahan.

"Setiap hari saya berdoa pada Allah supaya emak kembali sihat walaupun dia tidak boleh berjalan, saya sanggup menjaganya," katanya.

"Emak kadang-kadang mengadu sakit kepala dan saya hanya beri ubat yang diberi doktor untuk meredakan sakitnya," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Agro Bank 2-00-509100018422-0 milik Che Kamah Taib (ibu Azura).

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menghulurkan sumbangan susu formula khas serta wang tunai kepada Muhamad Safwan untuk menjaga ibunya.

Katanya, remaja ini perlu dibantu untuk membolehkan dia membeli susu formula khas, lampin pakai buang serta peralatan mencuci luka di kepala ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 11:18 AM