Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kisah dua beradik yang menjaga ibu menghidap barah payudara tahap empat di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, Jalan Kuala Kedah di sini mendapat simpati pelbagai pihak.

Selepas kisah mereka disiarkan Harian Metro semalam, orang ramai mula membantu keluarga itu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang kini menetap di rumah uzur yang hampir roboh.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, pihaknya akan membantu membaiki rumah yang didiami Sofiah Yusof, 54, yang menghidap barah payudara yang kini menetap bersama dua anaknya, Siti Aisyah Abdullah, 15, dan Muhammad Alif Adam, 12, di rumah itu.

Beliau berkata, kos membaiki rumah Sofiah dianggarkan sekitar RM20,000 dan dijangka siap dalam tempoh 10 hari.

"Namun saya berharap ada pihak yang sudi membantu mereka untuk perbelanjaan kegunaan harian mereka serta kos ulang alik ke hospital kerana rawatan kanser memerlukan jangka masa panjang.

"Hari ini saya turut membawa Pakar Perunding Kanan Nefrologi, Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah, Pakar Nefrologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norfadhlina Zakaria dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ezaty Dalila Adil.

"Mereka memberi semangat kepada Sofiah untuk meneruskan perjuangannya sebagai pesakit barah payu dara selain turut menghulurkan sumbangan mereka," katanya ketika mengunjungi keluarga berkenaan.

Zuraini berkata, pihaknya sedih melihat keadaan tiga beranak itu yang hanya mengalas perut dengan makan biskut kering untuk kehidupan harian mereka.

Katanya, bukan mereka tidak mampu, tetapi disebabkan kesibukan urusan harian mereka ke sekolah menyebabkan tidak sempat masak selain menjaga ibu mereka yang sakit.

Sementara itu, Sofiah mengucapkan terima kasih kepada pihak CSM dan tiga doktor pakar yang mengunjunginya untuk memberi semangat kepadanya bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, dia yang kini tidak berselera makan disebabkan menjalani rawatan kemoterapi akan terus melawan penyakitnya supaya terus kuat.

"Tiada harta di dunia ini melainkan dua anak saya ini yang sanggup menjaga saya setiap malam dan selepas pulang dari sekolah.

"Mereka tak pernah merungut dengan keadaan rumah dan nasib yang menimpa kami tetapi menguatkan azam mereka untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah kehidupan kami," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kisah dua beradik sanggup menjaga ibu mereka yang menghidap barah payu dara selepas pulang dari sekolah.

Sejak disahkan menghidap barah itu, Sofiah hanya mampu duduk di atas katil manakala tugas harian di rumah diuruskan dua anaknya selepas pulang dari sekolah.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 11:26 AM
Dr Rafidah (tengah) dan Zuraini Kamal (dua dari kanan) ketika menziarahi pesakit kanser payu dara, Sofiah Yusof (tiga dari kiri) dan dua anaknya di rumah mereka di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, Jalan Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Dr Rafidah (tengah) dan Zuraini Kamal (dua dari kanan) ketika menziarahi pesakit kanser payu dara, Sofiah Yusof (tiga dari kiri) dan dua anaknya di rumah mereka di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, Jalan Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI