RAZALI (duduk, tiga kiri) dan Ismail (duduk, empat kiri) bersama penduduk sempena ibadah korban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam. FOTO Eizairi Shamsudin
RAZALI (duduk, tiga kiri) dan Ismail (duduk, empat kiri) bersama penduduk sempena ibadah korban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam. FOTO Eizairi Shamsudin
Noor Hidayah Tanzizi


Gombak: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Selayang Baru komited dalam meluaskan dakwah kepada golongan Orang Asli dalam menghayati ibadah korban Aidiladha pada Majlis Ibadah Qurban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam, di sini, hari ini.

Pengerusinya, Ismail Hussin berkata, program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung terbabit menyantuni lebih 200 masyarakat Orang Asli Muslim di kampung itu.

Menurutnya, program ibadah korban berkenaan adalah yang keenam dilakukan di kampung itu dalam usaha berkongsi rezeki bersama komuniti Islam Orang Asli dan meneruskan dakwah serta mendekati masyarakat berkenaan.

"Kampung berkenaan adalah kampung angkat Perkim Selayang Baru sejak 40 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu seramai lebih 200 masyarakat termasuk kanak-kanak di sini mengucap dua kalimah Syadadah (dengan bimbingan Perkim).

"Untuk program hari ini sebanyak tiga lembu dikorbankan dan dagingnya akan diagihkan kepada asnaf dan masyarakat di sini selain kami juga mengadakan aktiviti gotong royong memasak juadah makan tengah hari.

"Aktiviti seperti ini salah satu usaha dakwah yang dilakukan untuk mendekati masyarakat Orang Asli," katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Dakwah Perkim Kebangsaan Datuk Razali Shahabudin dan Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (Poca) Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang juga perserta program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:42 PM