Kakitangan Perkim bersama penduduk setempat bergotong royong melakukan ibadah korban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Kakitangan Perkim bersama penduduk setempat bergotong royong melakukan ibadah korban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Noor Hidayah Tanzizi


Gombak: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Selayang Baru komited meluaskan dakwah membabitkan golongan Orang Asli bagi membolehkan mereka menghayati ibadah korban Aidiladha.

Pengerusinya, Ismail Hussin berkata, program Majlis Ibadah Qurban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam, di sini, tadi, berjaya mendekatkan Perkim dengan lebih 200 masyarakat Orang Asli beragama Islam di kampung itu.

Menurutnya, program ibadah korban itu adalah kali keenam diadakan di kampung berkenaan dalam usaha berkongsi rezeki bersama komuniti Islam Orang Asli serta meneruskan dakwah dirancang.

"Kampung ini adalah kampung angkat Perkim Selayang Baru sejak 40 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, seramai lebih 200 masyarakat termasuk kanak-kanak di sini mengucap dua kalimah Syahadah (dengan bimbingan Perkim).

"Bagi program hari ini, sebanyak tiga lembu dikorbankan dan dagingnya akan diagihkan kepada asnaf dan masyarakat di sini selain kami juga mengadakan aktiviti gotong royong memasak juadah makan tengah hari.

"Aktiviti seperti ini salah satu usaha dakwah yang dilakukan untuk mendekati masyarakat Orang Asli," katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Dakwah Perkim Kebangsaan Datuk Razali Shahabudin dan Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (Poca) Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang juga peserta program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 5:23 PM