Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dari kaki 'clubbing' kepada pendakwah. Itu titik penghijrahan yang membawa perubahan dalam hidup seorang pendakwah mualaf, Ahmad Daniel AlHafiz Aduka, yang kini sudah membantu ribuan individu sejak mula berdakwah pada 2017.

Ahmad Daniel, 31, berkata, dia insaf dan nekad berubah apabila koma selama dua bulan selepas pengsan ketika pulang dari berhibur pada 2017.

Katanya, peristiwa mendapat bayangan diseksa api neraka menyebabkan beliau nekad membuat keputusan untuk memeluk Islam pada tahun sama.

"Saya mula berdakwah selepas menyertai pertandingan syarahan agama peringkat kebangsaan mewakili Wilayah Persekutuan dan memenangi pertandingan itu pada 2017.

"Sejak itu, saya aktif berdakwah dengan mengikuti program Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan (Perkim) serta Perkim Dato Keramat.

"Kita bantu ribuan individu terdiri daripada golongan asnaf, B40, mak nyah, gelandangan dan lain-lain dengan dakwah selain pemberian bantuan kelengkapan asas secara bulanan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rahmah Ramadan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 'Iftar Bersama Saudara Kita' di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Menurutnya, dia mempelajari belajar teknik berdakwah dengan rakan dakwah lain bagi mendekati golongan sasaran mereka seperti gelandangan serta mak nyah.

"Malah, saya juga aktif melakukan kerja-kerja dakwah di lapangan bagi membimbing golongan berkenaan kembali ke pangkal jalan.

"Sepanjang tempoh berdakwah ini, banyak perkara yang membuka mata saya apabila melihat ada mualaf berdepan dugaan lebih mencabar apabila dihalau keluarga berbanding saya yang pernah dipulaukan (keluarga)," katanya yang juga penerima Anugerah Dakwah dalam majlis itu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ahmad Daniel pernah mendapat bayangan diseksa dengan api panas, tangan sebelah digantung di bawah bara api, manusia gigit badan sesama sendiri dan melompat daripada tebing tinggi.

Katanya, beliau tidak menyangka peristiwa dia pengsan secara tiba-tiba pada 2017 rupanya petanda dia akan memperoleh hidayah daripada Allah SWT ketika koma selama dua bulan.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, sebanyak RM1.7 juta bantuan dihulurkan oleh MAIWP dalam majlis berkenaan.

"Ia merangkumi bantuan aktiviti dakwah dan kebajikan kepada Perkim sebanyak RM800,000; Hidayah Centre Foundation berjumlah RM350,000 serta masing-masing RM200,000 kepada Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia (GEPIMA).

"MAIWP juga menyampaikan sumbangan wang tunai RM300 kepada 500 saudara baru yang berjumlah RM150,000 bagi meringankan beban serta memberi keceriaan kepada mereka dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri nanti.

"Tiga pemenang bagi kategori Anugerah Dakwah, Anugerah Pendidikan dan Anugerah Keusahawanan pula membawa pulang RM2,000 setiap seorang serta sijil penghargaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 8:47 PM
MOHD Nai'im menyampaikan Anugerah Mualaf 2023 kategori dakwah kepada Ahmad Daniel (dua dari kanan)Turut hadir, Mohd Daud (kiri) dan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail (kanan). FOTO Asyraf Hamzah.
MOHD Nai'im menyampaikan Anugerah Mualaf 2023 kategori dakwah kepada Ahmad Daniel (dua dari kanan)Turut hadir, Mohd Daud (kiri) dan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail (kanan). FOTO Asyraf Hamzah.