DR Mohd Yusof menyerahkan daging korban kepada pengetua pusat itu.
DR Mohd Yusof menyerahkan daging korban kepada pengetua pusat itu.
MASYARAKAT Rohingya di majlis ibadat korban perdana.
MASYARAKAT Rohingya di majlis ibadat korban perdana.
Faizatul Farlin Farush Khan


Atas semangat memperkukuhkan hubungan sesama Muslim tanpa mengira bangsa, baru-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Ibadah Korban Perdana PERKIM 1437 Hijrah.

Majlis penuh bermakna berkenaan diadakan di Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM, Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Selangor.

Menurut penyelaras program, Amran Anbarasu Abdullah, ibadat itu menekankan perpaduan Islam yang dibina atas dasar takwa bagi mengukuhkan hubungan sesama Muslim.

Beliau yang juga kakitangan Unit Perancangan, Penyelidikan dan Pelaksanaan (UPPP) Perkim berkata, ia secara tidak langsung dapat memupuk semangat dalam kalangan orang Islam untuk menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati dan menghindari sikap mementingkan diri supaya membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim.

“Tidak akan tertegak amal Islam untuk mengembalikan semula Islam yang dihina kepada kedudukannya yang tinggi dan mulia tanpa berkorban. Tidak akan tertegak dakwah Islamiah untuk menyeru seluruh manusia supaya kembali kepada agama Allah tanpa berkorban.

“Dalam Islam, hukum korban adalah sunat muakad, iaitu sangat dituntut ke atas umat Islam,” katanya.

Kata Pengerusi Biro Dakwah Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan itu, bagi mereka yang sudah melaksanakan ibadat korban pada masa lalu, tidak perlulah menghentikan ibadat itu pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, mengikut mazhab Imam Syafie, walaupun hukumnya sunat muakad, bagi mereka yang berkemampuan wajar terus melaksanakan korban kerana ia ibadat penting dan dituntut.

Majlis itu turut menghimpunkan 200 masyarakat Rohingya yang menetap di sekitar Pandan Indah dan terdapat antara mereka di bawah seliaan program penempatan semula Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Pada malam sebelumnya, petugas Perkim menyaksikan ibadat korban membabitkan penyembelihan empat lembu diketuai Pegawai UPPP Perkim, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Petugas seterusnya bergotong-royong melapah dan membungkus daging korban untuk diagihkan. Majlis diserikan dengan kehadiran Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor. Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Datuk Hasbullah L Isa; Pengarah UPPP Mamat Che Chik, Setiausaha Kerja Zulkefli Arifin serta Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru Datuk Ahmad Mustafa.

Program itu berjaya merapatkan persaudaraan antara komuniti minoriti Islam Rohingya dan Perkim, sekali gus memperkenalkan pertubuhan itu kepada kumpulan sasar berkenaan.

Selain memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat minoriti Islam, ia secara tidak langsung memperkenalkan Perkim sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada umat Islam.

Komuniti Rohingya perlu berusaha untuk menguasai, memahami dan bertutur bahasa Melayu dengan baik melalui kelas yang dianjurkan oleh Perkim.

Aktiviti kerohanian dilakukan secara berkala untuk mengeratkan silaturahim selain menyelesaikan masalah yang mereka hadapi di Malaysia.

Mereka juga diberi pendedahan kehidupan dan pengenalan asas bahasa Melayu supaya mudah bergaul di Malaysia.

Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya Perkim ditubuhkan pada 2009 dan pengurusan, elaun tenaga pengajar dan makan serta minum pelajar sepenuhnya ditaja oleh Perkim.

Antara subjek atau mata pelajaran yang disediakan ialah bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, pendidikan Islam, pendidikan seni, sains dan bahasa Arab. Majlis diakhiri dengan menikmati juadah istimewa sempena Aidil Adha - kari daging dan sup daging korban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 11:39 AM