Maslinda bersama penduduk setempat bergotong royong melakukan ibadah korban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Maslinda bersama penduduk setempat bergotong royong melakukan ibadah korban di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Noor Hidayah Tanzizi


Gombak: "Saya akan terus menjaga anak perempuan biarpun dia memilih Islam sebagai panduan hidupnya. Bagi saya, kami tidak kehilangan Maslinda cuma agama saja membezakan kami," luah penduduk Orang Asli suku Temuan, Mat Jais Baki, 53.

Menurutnya, dia masih tinggal bersama anak perempuannya, Maslinda, 26, yang memilih memeluk Islam sejak enam tahun lalu.

Mat Jais berkata, dia dan isteri Miniloma Moh, 51, menyokong apa saja jalan terbaik dipilih Maslinda.

"Sejak Maslinda memilih Islam, saya memikul tanggungjawab untuk sentiasa menjaga kesucian bahan masakan dan peralatan memasak di rumah kerana kami tinggal bersama," katanaya ketika

ditemui pada Majlis Ibadah Qurban anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Selayang Baru dengan mendapat kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Ulu Batu di kampung berkenaan di Ulu Yam di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah Kanan Dakwah Perkim Kebangsaan Datuk Razali Shahabudin dan Pengerusi Perkim Cawangan Selayang Baru, Ismail Hussin selain Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (Poca) Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang juga peserta program berkenaan.

Sementara itu, Maslinda yang berkerja sebagai pembantu tadika menganggap penerimaan positif ibu bapa dan adik beradiknya itu sebagai rezeki terindah daripada Allah SWT

Lebih membuatkannya bersyukur apabila insan tersayang itu memahami statusnya sebagai penganut Islam dan sentiasa berusaha mencari sumber makanan halal.

"Sebagai anak, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila keluarga terutama ibu bapa menerima agama saya walaupun pada mulanya saya takut untuk berterus terang.

"Emak berpesan supaya saya mendalami Islam dengan baik dan belajar mengaji. Ayah pula mahu kami tetap tinggal bersama. Dia akan pastikan membeli ayam dan daging halal sahaja," katanya yang masih bujang.

Menurutnya, dia tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai program agama termasuk ibadah korban Aidiladha.

Maslinda berkata, memilih jalan bersama Islam tidak membuatkan hubungan keluarganya putus, malah mereka tetap bersama seperti sebelum ini.

"Ketika Ramadan, keluarga akan tunggu saya selesai solat Maghrib sebelum kami makan bersama. Malah setiap kali Aidilfitri, ibu bapa juga tidak berkira mengeluarkan belanja untuk meraikan perayaan bersama.

"Saya sangat terharu dan bersyukur dengan penerimaan mereka. Saya anggap ini rezeki serta nikmat Allah SWT untuk saya sekali gus menjadikan lebih bersemangat mendalami agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 3:54 PM