Roselita Ludin, 20 (kiri) bersama Ibunya, Rohaida Alang Bayan, 44 pada temubual dua mualaf Orang Asli mengenai kisahnya masuk Islam dan masih tinggal bersama keluarga beragama asal di surau Hidayah Orang Asli Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Roselita Ludin, 20 (kiri) bersama Ibunya, Rohaida Alang Bayan, 44 pada temubual dua mualaf Orang Asli mengenai kisahnya masuk Islam dan masih tinggal bersama keluarga beragama asal di surau Hidayah Orang Asli Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Gombak: Memilih Islam ketika berusia 11 tahun menjadi detik terindah dalam hidup Roselita Ludin apabila keputusan itu turut diterima dengan terbuka ibu kandungnya yang masih berpegang dengan kepercayaan nenek moyang mereka.

Gadis Orang Asli, Roselita, 20, memilih Islam bersama abang kandungnya pada 2014 ketika tinggal bersama nenek yang memeluk Islam terlebih dahulu namun kini mereka tinggal bersama ibu bapa selepas nenek meninggal dunia.

Katanya, keputusan memeluk Islam dibuat sendiri tanpa desakan sesiapa dan mengakui gembira ibunya memberi peluang kepada mereka untuk memilih pegangan hidup.

"Ketika belum memeluk Islam, saya selalu memakai tudung dan mengikut arwah nenek ke surau.

"Saya melihat keindahan Islam daripada kehidupan nenek yang tenang sebelum kami sepakat melafazkan syahadah bersama dengan izin keluarga.

"Banyak perubahan seperti perjalanan hidup saya juga mudah dan murah rezeki malah saya berasa sentiasa cukup dengan nikmat diberikan Allah SWT apabila kita mensyukuri rezekinya," katanya yang kehilangan nenek dua tahun lalu.

Menurutnya, selepas pemergian nenek, ibu bapa serta tiga adiknya berpindah ke rumah nenek untuk menemani dia dan abangnya serta mereka hidup harmoni walaupun berbeza pegangan dan kepercayaan.

"Kehidupan berjalan dengan baik dan saling menghormati. Keluarga juga tidak akan memasak dan membawa makanan yang tidak halal ke rumah dan jika mahu makan juadah itu, mereka akan makan di restoran.

"Sejujurnya kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri memang sudah kurang dirasai sejak nenek meninggal dunia tetapi emak sentiasa mengingatkan saya mengenai solat dan dia akan tegur jika saya terlambat.

"Walaupun berbeza agama, emak juga cakna dengan isu Palestin ketika ini dan mengikuti perkembangan serta turut bersedih dengan konflik di negara berkenaan," katanya.

Ibunya, Rohaida Alang Bayan, 44, mengakui dia menerima pilihan dua anak dengan hati terbuka kerana baginya, dia gembira jika anaknya gembira dengan kehidupan itu malah mengakui sepanjang sembilan tahun anaknya memeluk Islam, dia tidak pernah berasa 'kehilangan' anak kandung.

Katanya, walaupun tidak mendalami Islam namun dia tahu anaknya tidak boleh mengambil makanan tidak halal termasuk ayam dan daging yang disembelih tidak mengikut hukum agama.

"Saya menjaga sumber makanan dan hanya membeli barangan basah diyakini sumber halal, sebab itu kami memilih tinggal di rumah emak.

"Ketika mula tinggal bersama, kasihan juga pada dua anak yang terpaksa menahan lapar dan dahaga ketika Ramadan tetapi apabila dijelaskan, barulah saya faham.

"Sebagai ibu, bukan saja anak perlu menghormati kita dan kita juga perlu menghormati anak supaya kehidupan kita sentiasa damai.

"Saya juga memilih untuk menyokong anak dan mahu mereka menjadi Muslim yang terbaik," katanya.

 Ketua Pengerak Aktivis Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia Zawawi Zakaria pada temubual dua mualaf Orang Asli mengenai kisahnya masuk Islam dan masih tinggal bersama keluarga beragama asal di surau Hidayah Orang Asli Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Pengerak Aktivis Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia Zawawi Zakaria pada temubual dua mualaf Orang Asli mengenai kisahnya masuk Islam dan masih tinggal bersama keluarga beragama asal di surau Hidayah Orang Asli Gombak. FOTO ASWADI ALIAS

'Orang Asli kini makin terbuka jika ada ahli keluarga pilih Islam'

Sikap keterbukaan Orang Asli terhadap ahli keluarga yang memilih Islam sebagai panduan hidup semakin baik dan mereka juga sentiasa menyokong anak untuk menjadi Muslim terbaik sesuai tuntutan agama.

Ketua Pengerak Aktivis Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia Zawawi Zakaria berkata, sebelum ini komuniti Orang Asli agak 'tertutup' dan sukar menerima pertukaran agama ahli keluarga mereka.

"Sekarang ia sudah jauh berbeza dan mereka dengan hati terbuka menerima penghijrahan anak malah ada yang menghantar sendiri anak untuk melafaz syahadah," katanya.

Menurutnya, dalam memperkasakan kefahaman Islam dan menyampaikan dakwah kepada komuniti itu, pihaknya menerapkan konsep kasih sayang mahabah yang turut menyantuni mereka yang bukan Islam.

"Kita mahu menyelami masyarakat Orang Asli secara dasar dan ia tidak sukar kerana budaya mereka juga tidak jauh berbeza dengan orang Melayu selain mereka sudah tahu mengenai Islam sesuai perubahan zaman.

"Kami menerapkan dakwah lisanul hal atau berdakwah secara perbuatan iaitu sikap, akhlak, contoh yang baik untuk mendekati dan menyantuni komunti itu.

"Seperti Ramadan, kita menjemput keluarga yang bukan Islam untuk berbuka bersama di surau yang mana setiap hari akan berbeza keluarga," katanya yang juga Naib Pengerusi Perkim Cawangan Bukit Damansara.

Menurutnya, pihaknya sudah berdakwah dalam kalangan Orang Asli sejak 2013 dan ia bermula di Kampung Orang Asli Batu 12 di sini yang mana sehingga kini seramai 300 orang daripada 90 keluarga sudah melafazkan syahadah.

"Usaha dakwah kami berterusan dan mualaf juga akan terus dibimbing. Kami saling bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk menjalankan kelas agama dan mengaji di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 7:02 AM