Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Siasatan berhubung isu murid tahun satu yang didakwa dikurung dalam sebuah ruang ditutupi jeriji besi di sebuah sekolah di Negeri Sembilan baru-baru ini, sudah selesai dan mencapai jalan penyelesaian terbaik.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu itu.

Katanya, penyelesaian sudah dicapai antara pihak sekolah berkenaan dan ibu bapa murid berkenaan.

"Sebagaimana saya sebutkan sebelum ini, kes terbabit sudah diputuskan dengan baik diperingkat JPN.

"Dalam konteks siasatan semasa, kes ini disiasat oleh JPN, kita sudah ambil perhatian semua perkara berkaitan dan tindakan yang diambil berhubung isu yang dibangkitkan sudah selesai.

"Tindakan ini diambil adalah untuk memastikan keselamatan keseluruhan, bukan saja murid itu tetapi juga pihak sekolah," katanya pada sidang media ketika diminta mengulas perkembangan siasatan kes itu.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Program Korban Perdana anjuran Pusat Khidmatnya di Masjid Al Huda Sungai Bakau di sini, hari ini.

Enam ekor lembu dikorbankan pada program itu dengan dagingnya diagih kepada penduduk sekitar.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, beliau berharap isu murid itu dijadikan pengajaran untuk semua pihak supaya ia tidak berulang.

"Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua terhadap isu ini dan KPM akan terus membaiki ekosistem pendidikan dari semasa ke semasa," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang guru didakwa mengurung murid tahun satu di sebalik jeriji besi di sebuah sekolah rendah sehingga mendatangkan kemarahan ibu bapa.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu ciapan pemilik akaun twitter yang berkongsi tentang kejadian menimpa seorang murid berusia tujuh tahun di sekolah anaknya.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan itu, turut kelihatan beberapa barangan pembersihan diletakkan di dalam kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 12:42 PM