Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi mengingatkan sekolah di seluruh negara supaya menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah susulan cuaca panas bagi mengelak diserang strok haba.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, penangguhan aktiviti itu hanya bersifat sementara hingga keadaan cuaca benar-benar selamat untuk murid dan pelajar menjalankan program di luar kelas.

Katanya, biarpun ada negeri yang kini cuaca sudah semakin baik namun KPM tetap berterusan menjalankan pemantauan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

"Sebenarnya, kita juga sudah mengadakan sesi libat urus bersama seluruh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan meminta dan memberikan pedoman kepada mereka serta menasihatkan supaya tidak menganjurkan program atau aktiviti di luar kelas memandangkan cuaca panas.

"Bagaimanapun penangguhan itu bersifat sementara berdasarkan keadaan cuaca yang ada sesetengah negeri cuaca semakin baik.

"Jadi kita akan pantau dari semasa ke semasa dan akan sentiasa beri pedoman, garis panduan serta nasihat daripada kementerian berkaitan," katanya ketika diminta mengulas kebimbangan segelintir ibu bapa apabila masih ada sekolah yang mengadakan aktiviti luar kelas terutamanya merentas desa walaupun KPM sudah mengeluarkan arahan dan pekeliling supaya menangguhkan semua program luar.

FADHLINA Sidek berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Dato Haji Ahmad Salleh, Permatang Keling di sini. FOTO Danial Saad
FADHLINA Sidek berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Dato Haji Ahmad Salleh, Permatang Keling di sini. FOTO Danial Saad

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Dato Haji Ahmad Salleh, Kampung Permatang Keling di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah KPM Datuk Pkharuddin Ghazali.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sehingga kini tiada sekolah ditutup memandangkan keadaan masih selamat dan kesiapsiagaan KPM berdepan isu terbabit.

Terdahulu, segelintir ibu bapa mendedahkan di media sosial masih ada sekolah menganjurkan aktiviti luar kelas terutamanya program merentas desa apabila mendapat surat kebenaran yang perlu ditandatangani bagi membenarkan anak mereka mengikuti aktiviti berkenaan.

Mereka meluahkan rasa bimbang dengan keadaan cuaca ketika ini yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 3:46 PM