LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Ahmad Hasbi


Rembau: Polis tidak menerima laporan berhubung kejadian murid dikurung dalam bilik jeriji besi di sebuah sekolah di daerah ini dan difahamkan kejadian itu sudah diselesaikan dengan cara baik.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pihaknya dimaklumkan satu perjumpaan sudah diadakan antara keluarga murid dengan pengurusan sekolah.

"Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau mengambil maklum isu tular mengenai murid di sebuah sekolah rendah yang dikurung dalam bilik pagar besi.

"Hasil siasatan melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Cawangan Khas dan Ketua Polis Balai Kota mendapati kejadian berlaku jam 8.30 pagi semalam, di sebuah sekolah di Kota, di sini.

"Seorang guru lelaki berumur 43 tahun dikatakan mendenda mangsa dengan mengurungnya di ruangan besi kerana kesalahan disiplin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati ruang besi itu adalah bilik pameran Persatuan Pencegahan Dadah Sekolah.

"Pada jam 9 pagi tadi, perjumpaan dibuat membabitkan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau, pihak sekolah dan keluarga mangsa serta turut dihadiri wakil daripada polis.

"Hasil perjumpaan itu, bapa mangsa menerima penjelasan oleh guru terbabit dengan baik dan sudah memaafkannya.

"Sehingga jam 5 petang tadi, tiada laporan polis dibuat pihak keluarga murid berkenaan berkaitan kejadian ini," katanya.

Justeru beliau berkata, polis menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih sehingga menggugat ketenteraman awam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 8:04 PM