FADHLINA (kanan) beramah mesra dengan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti kelas pembelajaran seperti biasa ketika lawatan kerja susulan gangguan bekalan air di SMK Seri Nibong, hari ini. FOTO Danial Saad
FADHLINA (kanan) beramah mesra dengan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti kelas pembelajaran seperti biasa ketika lawatan kerja susulan gangguan bekalan air di SMK Seri Nibong, hari ini. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mendengar setiap pandangan dan masih mengumpul maklum balas pelbagai pihak dalam menetapkan garis panduan pakaian seragam sekolah bagi sesi persekolahan akan datang.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil pendekatan terbuka berhubung isu itu dan setakat ini masih terus memberi kelonggaran kepada murid untuk hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam.

"Kita masih mendengar pandangan, input dan sumbang saran daripada semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pemegang taruh berkaitan isu pakaian seragam ini.

"Setakat ini kita belum buat sebarang keputusan lagi.

"Tapi untuk setakat ini, teruskan dengan pemakaian yang ada, yang penting pergi ke sekolah dengan berpakaian. Itu yang penting," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas mengadakan lawatan kerja gangguan bekalan air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, di sini dan sebelum itu turut meninjau SMK Raja Tun Uda di Bayan Lepas dan SMK Permatang Pasir di Permatang Pauh.

Pada 3 Mei tahun lalu, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian atau baju sukan ekoran cuaca panas dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya hari ini Fadhlina berkata, beliau melihat komitmen tinggi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah khususnya guru dalam memastikan pendidikan murid di sekolah masing-masing tidak terjejas.

Beliau melihat guru-guru melakukan persediaan yang amat baik dalam melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas semua sekolah di Pulau Pinang melaksanakan PdPR ekoran gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula semalam.

"Ini adalah tempoh yang sangat baik untuk kita perkukuhkan beberapa elemen dalam pendidikan kita khususnya PdPR dan juga memastikan akses pendidikan kepada anak tetap sampai walau di mana sahaja mereka berada.

"Pemantauan memperlihatkan guru-guru bersedia untuk PdPR dengan JPN memantau semua aspek termasuk daripada segi persediaan.

"Sekali pun anak-anak tiada peranti, mereka diberikan kertas kerja modul untuk menyiapkan kerja sekolah bagi memastikan pendidikan mereka tidak terputus," katanya.

Beliau berkata, persediaan simpanan bekalan air terutama membabitkan sekolah berasrama berjalan lancar dan mencukupi selain terdapat sebilangan sekolah sudah mula mendapatkan bekalan air seperti biasa bermula hari ini.

"Maknanya bekalan air putus tidak lama, dalam masa yang sama persiapan yang saya lihat sekolah-sekolah untuk bekalan air ini diuruskan dengan sangat baik selain turut mendapat kerjasama pada peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Sebelum ini media melaporkan semua sekolah di Pulau Pinang kecuali pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani sesi PdPR susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari, bermula 10 Januari.

Pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani pembelajaran seperti biasa di sekolah susulan peperiksaan yang telah dijadualkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:28 PM