Keterangan Gambar:TANGKAP layar gambar dalam kumpulan WhatsApp guru dan ibu bapa sebuah sekolah yang tular. FOTO Ihsan Azuan Abd Ghafar.
Keterangan Gambar:TANGKAP layar gambar dalam kumpulan WhatsApp guru dan ibu bapa sebuah sekolah yang tular. FOTO Ihsan Azuan Abd Ghafar.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Anak saya masih tidak mahu ke sekolah kerana takut dimasukkan lagi dalam tempat (kurungan) itu.

Demikian penjelasan bapa murid Tahun Satu yang dikurung dalam jeriji besi di sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan.

Bapa murid terbabit yang enggan namanya didedahkan memberitahu, pihaknya sudah memohon maaf kepada ibu bapa seorang murid di sekolah sama susulan tindakan anaknya bergurau keterlaluan dengan melondehkan seluar murid terbabit.

"Saya juga sudah mohon maaf kepada ibu bapa murid itu terhadap tindakan anak saya. Mereka enggan memanjangkan isu itu berikutan anak kami memang berkawan baik di luar sekolah. Malah anak saya memang kuat bergurau.

"Semua pihak sudah saling bermaaf-maafan ketika perjumpaan semalam (kelmarin). Saya dan isteri tidak simpan dalam hati, bagaimanapun saya sudah serahkan segalanya kepada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) untuk siasat," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, lelaki itu juga tampil memberi penjelasan di Facebook mengatakan perbincangan dibuat antara pihaknya, sekolah, polis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada 10.30 pagi di sekolah itu kelmarin.

"Saya dimaklumkan guru kelas, anak saya bergurau dengan menarik seluar kawannya. Bukan anak saya seorang yang melakukannya. Malah ia turut membabitkan tiga atau empat murid lain.

"Anak saya tidak mahu hadir ke sekolah akibat trauma dimasukkan ke dalam 'penjara' itu," katanya.

Menurutnya, tiada guru yang menunggu anaknya ketika diletakkan bersendirian dalam kurungan itu.

"Perkara itu diakui sendiri guru terbabit ketika dalam perbincangan. Bagaimanapun, cukup setakat ini saja, saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini.

"Semua anak-anak ada di media sosial, mereka membaca dan sedih. Sekarang saya nak perbaiki dulu mental dan emosi anak-anak saya. Lagipun kami sudah bermaafan dan anggap perkara ini sudah selesai," katanya.

Sejak Selasa, media sosial kecoh berhubung kisah seorang murid Tahun Satu dikurung dalam sebuah bilik berpagar besi yang kelihatan seperti penjara.

Tindakan salah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan itu mengundang rasa tidak puas hati ibu bapa murid terbabit berikutan anaknya dikurung.

Hasil siasatan PPD mendapati, hukuman pengasingan itu diambil pihak sekolah selepas murid berkenaan mengulangi kesalahan mengganggu rakannya dengan suka melondehkan seluar walaupun sudah diberikan peringatan.

Berita berkaitan:

Ikut SOP jika mahu ambil tindakan terhadap murid

Kes murid dikurung sudah selesai cara baik

Ada cara nak hukum, tapi bukan kurung begitu...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 1:22 PM