Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan murid berusia 11 tahun yang meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.

"Saya juga memberikan jaminan bahawa KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM bagi membantu siasatan tragedi ini.

"Bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah, KPM akan memastikan pihak JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah memantau seluruh infrastruktur sukan dan padang sekolah berada dalam keadaan selamat untuk kegunaan pelajar," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, seorang murid berusia 11 tahun meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti kokurikulum bersama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit dalam satu kenyataan mengesahkan Balai Polis Pusat Bintulu menerima laporan kemalangan itu pada 7.24 pagi.

Mengulas lanjut, Fadhlina dalam masa sama menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaraan terhadap kemudahan sukan di sekolah akan ditingkatkan.

"(Ia) bagi memastikan kawasan sekolah adalah sifar kemalangan dan pihak pentadbir sekolah hendaklah sentiasa mengingatkan para pelajar untuk sentiasa waspada ketika melakukan aktiviti di luar kelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 6:03 PM