Khasfi Rosli berkerusi roda ketika menghadiri Program Pendaftaran Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung di Wisma Perkeso. FOTO ZAID SALIM
Khasfi Rosli berkerusi roda ketika menghadiri Program Pendaftaran Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung di Wisma Perkeso. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Selepas terbabit kemalangan Jumaat lalu, baru saya sedar berapa pentingnya mencarum dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial)," kata kata Khasfi Rosli.

Khasfi, 21, antara 400 penghantar makanan yang mendaftar dengan Program Pendaftaran Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung secara percuma diadakan secara pandu lalu di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Katanya, kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan mengambil makanan untuk dihantar kepada pelanggan di Jalan Budiman, di sini.

"Saya baru sahaja menjadi penghantar makanan kira-kira sebulan lalu dan kejadian itu menyebabkan tidak dapat bekerja selepas mengalami patah tulang belakang.

"Sejak kemalangan itu, saya baru terfikir betapa pentingnya penghantar makanan mempunyai caruman dengan Perkeso," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak.

Sementara itu, Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin berkata, kesedaran dalam kalangan individu yang bekerja sendiri di negeri ini masih di tahap sederhana.

Beliau berkata, sehingga tahun lalu, hanya 3,924 individu bekerja sendiri daripada pelbagai sektor mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.

"Kami menganggarkan seramai 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri ini.

"Jadi kami harap mereka segera mencarum supaya mempunyai perlindungan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini ketika bekerja," katanya.

Beliau berkata, dengan penularan pandemik Covid-19, ramai terpaksa melakukan kerja sendiri seperti menjadi penghantar makanan selepas diberhentikan kerja.

Menurutnya, mmereka yang melakukan apa sahaja pekerjaan secara sendiri perlu sedar kepentingan mencarum kerana ia secara tidak langsung membela nasib mereka sekiranya berlaku musibah atau kemalangan.

"Program pendaftaran SPS Lindung secara pandu lalu ini untuk memberi peluang kepada pekerja sektor khidmat penghantaran sama ada menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki mendapatkan perlindungan secara percuma.

"Menerusi program ini, kerajaan menyediakan caruman penuh untuk pekerja khidmat penghantaran selama setahun menerusi Pelan 2 SKSPS sebagai perlindungan terhadap bencana pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 1,000 pekerja khidmat penghantaran termasuk pembeli-belah peribadi di negeri ini dan pendaftaran dibuka bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini bagi mereka yang bekerja sendiri atau menggunakan platform aplikasi pembekal.

Katanya, antara faedah akan diterima ialah kemudahan perubatan percuma di mana-mana klinik panel Perkeso atau hospital kerajaan, faedah Hilang Upaya Sementara dengan bayaran sebanyak RM41.33 sehari iaitu 80 peratus daripada pendapatan bulanan diinsurans mengikut pelan caruman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 8:41 PM