MUNIRAH (dua kanan) bersama Farihah (dua dari kiri) ketika menyerahkan replika cek Faedah Hilang Upaya Sementara di Menara Yayasan Islam, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim.
MUNIRAH (dua kanan) bersama Farihah (dua dari kiri) ketika menyerahkan replika cek Faedah Hilang Upaya Sementara di Menara Yayasan Islam, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


“SAYA akan menggunakan sebahagian wang faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN),” kata Munirah Shafie, 29, dari Kampung Padang Ujik, Manir, Kuala Terengganu.

Munirah yang bekerja sebagai juru wang di sebuah pasar raya di Gong Badak, Kuala Terengganu menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM4,222 dari Perkeso selepas patah paha kiri dalam kemalangan, Oktober tahun lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Photonic dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka mendapat bantuan berkenaan dalam tempoh masa yang singkat.

“Saya ingat selepas enam bulan baru dapat. Alhamdulillah, syukur dengan bantuan ini.

“Terima kasih juga kepada majikan kerana menjaga kebajikan pekerja dengan mendaftar dan membuat caruman dengan Perkeso,” katanya yang sudah tiga tahun bekerja di pasar raya berkenaan.

Majlis penyampaian faedah berkenaan disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin pada Program CIDB dan Perkeso bersama Majikan Kontraktor di Menara Yayasan Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Program kerjasama pertama CIDB dan Perkeso itu disertai kira-kira 200 peserta dan diadakan bagi memastikan majikan berdaftar serta mencarum pekerja mereka dan kontraktor kelas F di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Seorang lagi penerima, Wan Hasmalizan Wan Mohamad, 32, tahun dari Kampung Raja, Besut, berkata, dia akan menggunakan wang Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM44,500 yang diterimanya untuk simpanan masa depan keluarga.

“Saya akan menggunakan duit ini untuk keperluan keluarga dan masa depan anak yang kini baru berusia dua tahun,” katanya.

Wan Hasmalizan yang bekerja sebagai pemandu jentera berat patah paha kanan dan tangan kiri selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 4:57 PM