TIGA beranak antara lima lelaki yang direman selama empat hari bermula hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
TIGA beranak antara lima lelaki yang direman selama empat hari bermula hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tiga beranak antara lima lelaki yang direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pemerasan serta khianat ke atas premis jualan kenderaan baru dan terpakai di sini.

Perintah reman sehingga 27 Mei itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab bagi membolehkan siasatan terhadap kesemua suspek dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 385 akta yang sama.

Kesemua yang ditahan itu berusia antara 26 hingga 63 tahun terdiri daripada tiga pekebun durian manakala dua lagi masing-masing pembantu kedai telefon bimbit serta penjual penyaman udara.

Tiga beranak yang direman itu terdiri daripada bapa dan dua anak yang mana seorang daripadanya adalah suspek utama berusia 36 tahun.

Kesemua lima suspek itu diwakili peguam Tan Yen Sing daripada SY Cheong & Partners.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin ketika ditemui media di sini, hari ini berkata, lima suspek berkenaan ditahan antara jam 5.15 petang semalam hingga 3.20 pagi tadi membabitkan empat lokasi berasingan di Georgetown dan Bayan Baru.

Dengan penahanan itu, Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes peras ugut dan simbah cat atau asid terhadap premis terbabit yang mana 12 daripadanya adalah di daerah Timur Laut serta dua di Barat Daya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 3:59 PM