SEBAHAGIAN pengunjung, termasuk pekerja premis hiburan di Kompleks Midlands yang ditahan polis kerana ingkar arahan PKP. FOTO  Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN pengunjung, termasuk pekerja premis hiburan di Kompleks Midlands yang ditahan polis kerana ingkar arahan PKP. FOTO Ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seramai 25 pengunjung termasuk pekerja premis hiburan di Kompleks Midlands, Jalan Burma, di sini, ditahan polis kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melakukan aktiviti terlarang.

Kesemua pengunjung berkenaan ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang ketika sedang leka berhibur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, mereka terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta tiga lagi wanita warga asing.

Manakala, katanya, enam lagi lelaki warga tempatan yang ditahan adalah pekerja di premis berkenaan.

"Sembilan daripadanya didapati positif dadah selepas menjalani saringan ujian air kencing.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Rahimi berkata, premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan dan hiburan yang sah, namun didapati bersalah kerana beroperasi dalam tempoh PKP.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua tahanan akan dipohon bagi tindakan reman.

"Tindakan agresif akan diambil polis secara berterusan ke atas semua aktiviti haram dan terlarang bagi mengekang penularan wabak Covid-19, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:14 PM