Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lima lelaki yang disyaki terbabit dengan kes khianat membabitkan premis kenderaan baru dan terpakai berjaya diberkas Polis Pulau Pinang.

Penahanan kesemua suspek dilakukan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut antara jam 5.15 petang semalam hingga 3.20 pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, lima suspek berkenaan berusia 26 hingga 63 tahun dan mereka ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya.

"Kesemua suspek adalah warganegara tempatan berasal dari Pulau Pinang dan mereka ditahan di empat lokasi berasingan sekitar Georgetown dan Bayan Baru.

"Dengan penahanan itu, Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes peras ugut dan simbah cat atau asid terhadap premis terbabit yang mana 12 daripadanya adalah di daerah Timur Laut serta dua di Barat Daya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di IPK Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin dalam sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin dalam sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD

Kok Chin berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif daripada pengambilan bahan terlarang manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua suspek yang dijangka mendapatkan perintah reman hari ini tidak mempunyai pekerjaan tetap namun polis percaya mereka mempunyai hutang dan memeras ugut mangsa bagi mendapatkan wang.

"Kita percaya di belakang kegiatan mereka berkait dengan along kerana itu, suspek bertindak melakukan peras ugut berikutan memerlukan wang.

"Suspek utama berusia 36 tahun dikatakan bergerak secara solo bagi kegiatan simbah cecair berkenaan manakala empat suspek lagi turut bersubahat dengan peranan masing-masing.

"Kesemua mereka saling mengenali dan rakan jenayah malah kita masih mengesan baki ahli yang kita percaya ada individu yang menyokong tindakan ini," katanya lagi.

Bagaimanapun menurut Kok Chin, pihaknya masih menyiasat sama ada kejadian premis motosikal di Jalan Dato Keramat di sini, mempunyai kaitan atau dilakukan individu yang sama.

Semalam, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong pada sidang media berkata, kejadian itu menyebabkan sebanyak 43 kereta dan 18 motosikal pelbagai jenama mengalami kerosakan akibat disimbah cecair atau asid disyaki peluntur cat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 11:08 AM