Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM822,000 menerusi sembilan serbuan dijalankan serentak di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Daripada serbuan itu, sebanyak 309 kilogram (kg) ganja dan 495 gram syabu dirampas membabitkan penahanan 11 suspek warga tempatan dan seorang warga Thailand.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman (Perisikan / Operasi), Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, serbuan dilakukan oleh pasukan JSJN Bukit Aman, JSJN Pulau Pinang dan JSJN Perak pada 27 dan 28 Oktober lalu.

Beliau berkata, semua suspek berusia 22 hingga 46 tahun itu terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada 11.15 malam, 27 Oktober lalu membabitkan penahanan sebuah kenderaan jenis Vellfire yang dipandu seorang lelaki warga Thailand di kawasan Bagan Nyiur, Juru, Seberang Perai Tengah di sini.

Menurutnya, suspek didapati membawa 15 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 313 ketulan mampat ganja seberat 308,945 kg.

 ZAINUDIN (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Audrey Dermawan
ZAINUDIN (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Audrey Dermawan

"Pada serbuan seterusnya pada jam 11.45 malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, polis menahan dua lelaki dan wanita warga tempatan serta merampas syabu seberat 495 gram.

"Susulan daripada penahanan itu seramai sembilan lagi suspek ditahan pada serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah, di sini dan Kupang, Kedah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut dirampas ialah 15 kenderaan pelbagai jenis iaitu Proton Saga, Mazda CX5, Toyota Alphad, Proton X70, Perodua Alza, Nissan Theana, BMW 3Series dan lain-lain lagi yang keseluruhannya bernilai RM1.5 juta, wang tunai berjumlah RM65,090 serta sebentuk cincin bernilai RM500.

Zainudin berkata, siasatan mendapati suspek warga Thailand itu sudah lima tahun bekerja di sebuah restoran di sini dan membawa masuk dadah dari negara jiran menerusi laluan laut.

"Sindiket berkenaan giat menjalankan aktiviti pengedaran di Pulau Pinang, Perak dan sekitar Lembah Klang," katanya.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati empat daripadanya didapati positif methamphetamine manakala dua lagi positif Tetrahydrocannabinol (THC).

"Lapan daripadanya didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersangkut jenayah dan dadah.

Kesemua suspek direman selama tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 1:21 PM