Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik premis urut dan salon di Vanda Bussiness Park, Gelugor, di sini, terbongkar hasil serbuan polis semalam.

Serbuan pada jam 6.30 petang itu dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, 11 wanita dan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran ditahan.

Katanya, kesemua yang ditahan adalah warga negara asing berusia antara 24 hingga 54 tahun.

"Ketika serbuan, polis menahan seorang lelaki dipercayai pelanggan dan turut dijumpai adalah barangan yang disyaki digunakan bagi aktiviti persundalan.

"Didapati aras bawah premis berkenaan beroperasi sebagai pusat urut manakala salon pula di tingkat atas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, selepas mendapat urutan atau perkhidmatan salon, pelanggan akan ditawarkan khidmat seks dengan kadar bayaran antara RM50 hingga RM150.

"Bagaimanapun, polis sedang menyiasat sama ada pemilik premis turut terbabit dengan kegiatan itu atau tidak.

"Kesemua suspek kini ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru dan direman selama tiga hari sehingga 10 September bagi siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah).

Dalam perkembangan lanjut Saravanan berkata, bagi tempoh antara 30 Ogos hingga semalam, sebanyak 13 premis di sekitar daerah Timur Laut sudah diserbu menerusi Op Noda membabitkan tangkapan seramai 53 suspek.

Daripada serbuan itu, seramai 37 daripadanya adalah wanita warga asing; enam lelaki warga asing dan masing-masing lima wanita dan lelaki warga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 5:42 PM
V Saravanan (tiga dari kiri) menunjukkan barangan kes yang di rampas dalam Op Noda (Pelacuran) pada sidang media di Bilik Media, Tingkat 4, Ibu Pejabat Daerah Timur Laut hari ini. FOTO MIKAIL ONG
V Saravanan (tiga dari kiri) menunjukkan barangan kes yang di rampas dalam Op Noda (Pelacuran) pada sidang media di Bilik Media, Tingkat 4, Ibu Pejabat Daerah Timur Laut hari ini. FOTO MIKAIL ONG