Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad (pertama dari kanan), bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad  (tiga dari kanan), bersama kanak-kanak dari rumah anak yatim ketika sesi membeli belah ‘Baju Raya’ di Mydin Subang Jaya.
Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad (pertama dari kanan), bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad (tiga dari kanan), bersama kanak-kanak dari rumah anak yatim ketika sesi membeli belah ‘Baju Raya’ di Mydin Subang Jaya.
Mohammad Asyraf Khalib

RAMADAN adalah bulan penuh rahmat yang mana ganjaran dan kebaikannya tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.   

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan lazimnya memberi peluang kepada umat Islam untuk melakukan lebih banyak kebaikan termasuk menyantuni golongan kurang berkemampuan supaya tidak ada insan yang tersisih.

Walaupun Ramadan sudah berlalu pergi, kemanisan dan nikmatnya masih dirasai serta amal kebaikan yang disemai dalam bulan itu terus dinikmati bersama sehingga hari ini. 

CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) antara syarikat yang tampil menyantuni golongan memerlukan menerusi program Harapan Ramadan, selaras dengan komitmennya sebagai sebuah institusi kewangan dan badan korporat yang bertanggungjawab.

Inisiatif terbabit adalah program khidmat bantuan komuniti yang dianjurkan bersama CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dan CIMB Foundation sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Tahun ini, dana sebanyak RM1.9 juta disalurkan dan ia dijangka memanfaatkan lebih 33,000 individu di seluruh negara.

Kerjasama NGO

Menerusi program itu, CIMB bekerjasama dengan enam badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia, Yayasan Belia Malaysia, Yayasan Kita Anak Malaysia, Persatuan Belia Seri Cempaka, Pusat Jagaan Kesayangan Mumtahanah dan Maahad Tahfiz Nadi Huffaz serta 12 rumah anak yatim yang lain.

Penerima program Harapan Ramadan tahun ini terdiri daripada komuniti B40 dan asnaf, termasuk ketua keluarga, ibu dan bapa tunggal, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), pelarian, warga emas serta golongan yang kurang berkemampuan lain di seluruh negara.

Ia merangkumi pengagihan pelbagai jenis barangan keperluan harian seperti beras, makanan dalam tin, minyak masak dan makanan ruji lain bagi membantu mereka yang memerlukan membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri lalu. 

Selain itu, elaun wang tunai turut disumbangkan kepada rumah anak yatim untuk menampung perbelanjaan keperluan mereka, di samping memberi peluang kepada anak yatim untuk membeli-belah pakaian Raya atau sebarang pakaian pilihan mereka. 

Perkasa golongan asnaf, B40

(Dari kiri) Pentadbir & Fasilitator (Nazir) Masjid Al-Ikhwaniah, Abdul Razal Md Ros, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Belia Malaysia, Datuk Mustapa Othman, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Mohd Shukor Tahir, dan Ketua Serantau, Inisiatif Strategik CIMB Islamic, Nazzi Beck mengedarkan barangan keperluan kepada masyarakat kurang berkemampuan yang tinggal di Cheras.

Menerusi CIMB Islamic, CIMB komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk golongan asnaf dan komuniti B40, di samping menyokong pembangunan mereka melalui pelbagai program komuniti.

Ia termasuk Program Keusahawanan Taylor's - CIMB Islamic, Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur, Program International Islamic University Malaysia (IIUM) - CIMB Islamic iTAAJIR dan CIMB MicroBizReady. 

Semua inisiatif terbabit bertujuan memperkasakan usahawan B40 melalui latihan dan bimbingan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang keusahawanan sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup.

CIMB Foundation adalah cabang tanggungjawab sosial korporat dan filantropi CIMB yang memberi fokus kepada empat bidang utama iaitu pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti, pemerkasaan ekonomi serta iklim dan alam sekitar. 

Usaha terbabit adalah sebahagian inisiatif CIMB ke arah impak kelestarian terhadap masyarakat sekeliling, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif menarik yang ditawarkan CIMB sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, layari www.cimb.com.my.

Rakyat Malaysia dijemput menonton video pendek sekitar program CIMB Harapan Ramadan menerusi video di bawah:

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 4:45 PM