ABDUL Aziz menyaksikan penyerahan bayaran zakat Abu Hanifah (kiri) kepada Fahmi  (kanan) pada majlis serahan zakat DataSonic kepada PPZ-MAIWP. FOTO Hazreen Mohamad
ABDUL Aziz menyaksikan penyerahan bayaran zakat Abu Hanifah (kiri) kepada Fahmi (kanan) pada majlis serahan zakat DataSonic kepada PPZ-MAIWP. FOTO Hazreen Mohamad
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sebanyak RM90 juta dikutip oleh Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) setakat ini hasil bayaran zakat daripada umat Islam di sini.

Pengerusi PPZ-MAIWP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, jumlah itu merangkumi perolehan zakat harta dan fitrah.

Abdul Aziz percaya jumlah itu akan meningkat menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi.

"Jumlah itu normal dan ia belum muktamad lagi kerana beberapa hari lagi ada untuk pembayar zakat menunaikan tanggungjawab sebelum tibanya Aidilfitri

"Jika Aidilfitri jatuh pada Sabtu, mungkin kutipannya lebih banyak lagi.

"Kita berharap dan galakkan lebih ramai lagi umat Islam untuk tunaikan tanggungjawab kerana jumlah asnaf baru meningkat dengan dianggarkan 31,000 di Wilayah Persekutuan.

"Peningkatan jumlah asnaf itu disebabkan pandemik Covid-19 dan ekonomi tidak menentu jadi kita harap dapat bantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan walaupun proses itu memakan masa" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepasmajlis penyerahan cek zakat yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Datasonic (Datasonic), Datuk Hanifah Noordin di Dewan Al Qardhawi PPZ-MAIWP, di sini, hari ini.

Datasonic menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM2 juta bagi tahun ini.

Abdul Aziz menzahirkan penghargaan kerana Datasonic kerana berkongsi rezeki melalui pembayaran zakat perniagaan.

"Semoga rezeki dikongsi ini mengukuhkan ihsan dan jalinan ukhuwah kita sebagai umat Islam yang saling bantu

membantu demi kekuatan ummah," katanya.

Sementara itu, Abu Hanifah berkata, buat julungkalinya Datasonic melaksanakan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada PPZ-MAIWPtahun ini.

"Bayaran zakat perniagaan itu dibuat untuk diagihkan kepada golongan asnaf serta penerima zakat lain yang diiktiraf.

"Bagi pihak Datasonic, kami amat berharap semoga dengan pengagihan zakat ini, sedikit sebanyak akan dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 4:43 PM