AZHAR (kiri), menyerahkan replika cek kepada Abdul Hakim Amir (kanan), disaksikan Mohd Nizam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AZHAR (kiri), menyerahkan replika cek kepada Abdul Hakim Amir (kanan), disaksikan Mohd Nizam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: McDonald's Malaysia meneruskan komitmen membayar zakat perniagaan berjumlah RM500,000 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam usaha menyantuni golongan memerlukan.

Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald's Malaysia, Azhar Darbi berkata, penyerahan zakat tahun ini adalah jumlah tertinggi sejak McDonald's Malaysia mula membayar zakat perniagaan lima tahun lalu, selepas diambil alih anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi, Lionhorn Pte Ltd pada 2017.

"Bayaran zakat perniagaan ini adalah salah satu dari inisiatif kami bagi menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan dan nilai teras McDonald's Malaysia.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PPZ-MAIWP atas penyerahan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada McDonald's Malaysia.

"Diharap dengan sijil yang akan dipamerkan di restoran kami, keyakinan masyarakat terhadap syarikat kami akan tetap utuh," katanya pada Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan kepada PPZ- MAIWP dan sumbangan kepada keluarga asnaf di Danau Kota di sini, hari ini.

Pembayaran zakat itu diserahkan Azhar kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman sambil disaksikan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Azhar berkata, sehingga kini pihaknya membayar zakat perniagaan berjumlah RM9.85 juta kepada pusat pungutan zakat negeri di seluruh negara sejak 2017.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, sebagai pengiktirafan kepada McDonald's Malaysia yang berterusan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai sebuah entiti perniagaan milik umat Islam, pihaknya menyerahkan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada syarikat itu yang akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald's di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Tahniah diucapkan kepada McDonald's Malaysia kerana menjadi satu syarikat contoh yang boleh diikuti oleh syarikat lain.

"Sebagai satu nama besar, saya yakin McDonald's Malaysia mampu mempengaruhi lebih banyak syarikat di luar sana dalam menunaikan zakat perniagaan sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi asnaf," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hakim berkata, rekod kutipan zakat perniagaan dalam tempoh tiga pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kutipan zakat perniagaan pada tiga bulan pertama meningkat kepada RM21.99 juta berbanding RM17.1 2 juta tahun sebelumnya.

"Bagi kutipan zakat secara keseluruhan pula meningkat sebanyak 12 peratus untuk tempoh sama iaitu RM163 juta berbanding RM145 juta tahun sebelumnya.

"Ini satu pencapaian agak baik di kala negara masih lagi berhadapan cabaran meningkatkan semula ekonomi negara dan kita harapkan pembayaran zakat terus meningkat," katanya.

Pada majlis sama, McDonald's Malaysia turut mengadakan Program Ziarah Komuniti Asnaf dengan menyantuni 50 keluarga asnaf di sekitar kawasan Danau Kota, Kuala Lumpur dan menyerahkan sumbangan wakalah agihan dalam bentuk kotak rezeki dan duit raya serta menaja juadah moreh kepada 600 masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 6:33 PM