Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen 'Ramadan Penuh Makna' bagi menggalakkan orang ramai mengeluarkan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen berkenaan cukup istimewa kerana terdapat pelbagai hadiah menarik menanti pembayar zakat harta dan fitrah.

"Pihak kami ingin membawa pembayar zakat dan asnaf untuk bersama-sama meraikan Ramadan dengan ketakwaan serta mengamal kebaikan dengan perisian yang dirangka khas untuk kempen ini.

"Untuk pembayar zakat harta mereka berpeluang memenangi hadiah pakej umrah dan ziarah manakala pembayar fitrah secara dalam talian berpeluang memenangi hadiah seperti sejadah dan telekung ekslusif, jam tangan, baucar makanan," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan, pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik sepanjang Ramadan seperti Jom Ngaji, Mencari Lailatul Qadar, kuiz serta pertandingan.

Menurutnya, PPZ-MAIWP turut menyediakan pelbagai saluran pembayaran untuk orang ramai boleh membayar zakat melalui 10 kaunter PPZ-MAIWP yang dibuka setiap hari.

Dalam pada itu beliau berkata, PPZ-MAIWP mensasarkan RM136 juta kutipan untuk kempen Ramadan untuk membantu golongan asnaf.

"Saya menyeru umat Islam membuat pembayaran zakat supaya kita bersama-sama berkongsi nikmat dan rezeki bersama asnaf dan bergembira di hari raya seperti umat Islam lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 3:03 PM
ABDUL Hakim Amir Osman berucap ketika hadir melancarkan Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ, Taman Shamelin. FOTO Fariz Iswadi Ismail
ABDUL Hakim Amir Osman berucap ketika hadir melancarkan Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ, Taman Shamelin. FOTO Fariz Iswadi Ismail