BAYAR zakat. FOTO Nadim Bokhari
BAYAR zakat. FOTO Nadim Bokhari
Suliati Asri


PUSAT Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyeru umat Islam segera menunaikan zakat pada 10 terakhir Ramadan bagi meraih pahala berganda.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kegiatan ekonomi terjejas serta ramai yang hilang punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga, dibuang kerja dan sebagainya.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff berkata, ramai di antara mereka yang sebelum tidak disenarai sebagai asnaf tetapi dalam keadaan ekonomi sekarang mereka tergolong sebagai asnaf baru.

Katanya, jumlah bantuan juga perlu ditambah bagi menampung kos bantuan kepada penerima zakat sedia ada.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk segera menunaikan zakat walaupun belum cukup haul disebabkan situasi ini", katanya.

Demi memenuhi keperluan masyarakat menunaikan ibadah zakat fitrah dan harta dalam tempoh ini, PPZ-MAIWP menyediakan beberapa saluran bayaran zakat supaya urusan zakat lebih mudah dilakukan.

Bayaran zakat boleh dilakukan melalui empat cara iaitu pertama menerusi sembilan kaunter PPZ-MAWIP kaedah pembayaran tunai, cek, kad debit dan kad kredit perbankan Islam.

Kedua, menerusi portal zakat harta iaitu www.zakat.com.my (kira, bayar, semak) manakala ketiga menerusi portal fitrah, fitrah.zakat.com.my dengan kaedah bayaran dengan kad debit dan kad kredit perbankan Islam.

Cara keempat adalah melalui ejen kutipan zakat iaitu perbankan internet (14 bank), MyEG, Pos Online, PayHalal, eWallet UMobile dan Boost serta JomPay dengan iRakyat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:26 PM