Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kecacatan bukan penghalang enam remaja istimewa berdikari menghasilkan kuih raya sebagai aktiviti kemahiran selain bagi memenuhi masa terluang sepanjang Ramadan kali ini.

Mereka terdiri daripada pelatih istimewa Pusat Dalam Komuniti (PDK) Semurni Qasih, Bukit Rangin, di sini, masalah pembelajaran yang menghasilkan biskut Mazola sebagai produk jualan Aidilfitri. Remaja istimewa terbabit yang turut dibantu guru membuktikan kemampuan menghasilkan produk berkenaan sebanyak 50 balang yang setiap satu seberat 350 gram. Penyelia PDK Semurni Qasih, Rosnani Embong berkata, pihaknya hanya mampu menerima tempahan kira-kira 50 balang biskut Mazola yang disediakan dalam masa seminggu.

Menurutnya, sambutan yang diterima menggalakkan, namun disebabkan faktor masa dan jumlah pelatih yang terhad selain ketuhar yang bermasalah menyebabkan tempahan tidak dapat diterima dengan banyak.

SEMURNI Qasih, Bukit Rangin menghasilkan biskut Mazola untuk jualan Aidilfitri. FOTO Mohd Rafi Mamat
SEMURNI Qasih, Bukit Rangin menghasilkan biskut Mazola untuk jualan Aidilfitri. FOTO Mohd Rafi Mamat

"Kita menjual kuih raya dengan harga antara RM20 satu balang berbanding RM18 tahun lalu, permintaan terdiri daripada keluarga pelatih.

"Biskut Mazola produk percubaan Ramadan kali ini. Sebelum ini, pelatih lebih menumpukan kepada menghasilkan roti sebanyak tiga hingga lima kilogram setiap minggu," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, roti dijual kepada masyarakat setempat, kedai dan keluarga pelatih.

Tempahan juga diterima daripada pelbagai pihak yang mengadakan program. Setiap kali tahun baru Cina pihaknya juga menghasilkan kuih bulan.

Rosnani berkata, pihaknya bercadang untuk menghasilkan lebih banyak produk kuih dan biskut pada masa akan datang dalam usaha memberi lebih kemahiran pada pelatih Pelatih, Nurfazlin Fazli, 26, berkata dia berminat dalam menghasilkan kuih raya termasuk biskut Mazola dan roti.

"Setiap tahun saya membuat kuih raya bersama rakan sambil dibantu enam guru, selepas Ramadan kami menghasilkan roti setiap minggu.

"Guru banyak membantu, kerjasama antara kami dapat menghasilkan pelbagai produk untuk hidangan kami selain untuk dijual," katanya yang menetap di Taman Indera Sempurna, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 2:50 PM