Zatul Iffah Zolkiply


PEMBATALAN tempahan 600 balang biskut raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara dugaan terbesar pengasas produk Cookies dan Popia Cik Mun Kudapan Gila Bayang sepanjang lima tahun menceburi bidang perniagaan kuih raya.

Selain pembatalan tempah, perniagaan diusahakan Munirah Mansor, 31, yang juga ibu kepada tiga anak itu turut berdepan kesukaran mendapatkan bekalan mentah.

Menurutnya, dia yang mengambil tempahan sejak Januari lalu pada awalnya mendapat tempahan 2,500 balang biskut raya sebelum berkurangan kepada 1,900 balang.

"Setiap tahun, saya memang mengambil tempahan awal dengan bantuan tiga pembantu sebelum diberikan kepada pelanggan, ejen dan stokis.

"Bagaimanapun, tempahan mula dibatalkan secara berperingkat sejak PKP diumumkan berikutan ada pelanggan yang tidak dapat pulang beraya dan masalah kewangan.

"Memang sedih tetapi saya terpaksa akur kerana semua orang terkesan dengan PKP ini dan saya anggap ia dugaan Ramadan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pauh, Kuala Terengganu.

Munirah berkata, walaupun tempahan diambil sejak Januari lalu, biskut hanya dibuat pada pertengahan April bagi menjamin kualiti.

Katanya, dia bernasib baik kerana hanya sebahagian tempahan sahaja sudah disiapkan, sekali gus mengurangkan jumlah kerugian dihadapi.

Munirah berkata, dia turut berdepan masalah kekurangan tenaga kerja kerana pergerakan pembantunya terhad sepanjang PKP menyebabkannya menyiapkan tempahan sendiri.

Munirah mansor, 31 menyusun Balang kuih raya untuk dijual menjelang Aidilfitri di Kampung Wakaf Beruas.
Munirah mansor, 31 menyusun Balang kuih raya untuk dijual menjelang Aidilfitri di Kampung Wakaf Beruas.

"Jadual kerja saya bermula pada 8 pagi hingga 6 petang untuk menyiapkan sembilan jenis biskut raya seperti choc chip, tart nenas, tart blueberry, tart cadbury, semperit dan almond chip.

"Sejak PKP, anak-anak juga berada di rumah dan ada kalanya proses penghasilan terganggu kerana perlu menguruskan mereka," katanya yang mampu menyiapkan hanya 20 balang setiap hari berbanding lebih 50 balang sebelum ini.

Menurutnya, dia kini sibuk menyiapkan tempahan bagi ejen dan stokis yang ada supaya ia dapat dihantar sebelum Aidilfitri.

"Saya harap dapat siapkan tempahan pada masa ditetapkan dan berharap kelonggaran peraturan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan kerajaan dapat melancarkan urusannya termasuk memudahkan pembantu datang ke rumah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 3:16 PM