SEJUMLAH 600 balang biskut Almond London habis dijual dalam tempoh 24 jam selepas tular di media sosial tempahan itu dibatalkan oleh ejen. FOTO Ihsan Ju Anisha
SEJUMLAH 600 balang biskut Almond London habis dijual dalam tempoh 24 jam selepas tular di media sosial tempahan itu dibatalkan oleh ejen. FOTO Ihsan Ju Anisha
Ruwaida Md Zain


KEKECEWAAN pemilik bakeri selepas pelanggannya membatalkan tempahan 600 balang biskut Almond London terubat apabila ia habis dijual dalam tempoh 24 jam selepas kisah itu tular di media sosial.

Ju Anisha Ibrahim, 34, berkata, tempahan sebanyak 600 balang itu disiapkan dalam tempoh kira-kira sebulan iaitu dua minggu sebelum puasa sebelum ejennya menghubunginya Sabtu lalu memaklumkan mahu membatalkan tempahan.

Walaupun kecewa dengan tindakan ejennya, Ju Anisha tetap bersyukur dengan sambutan dan sokongan yang diberikan semua pihak selepas keluhannya itu tular.

“Alhamdulillah masih dapat modal. Tidak rugi cuma tidak berapa untung sebab jual murah sikit daripada harga asal. Terima kasih semua yang membantu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ju Anisha berkata, dia memaafkan ejen terbabit, yang juga suri rumah dan akan berurusan seperti biasa di masa akan datang.

“Tempahan yang dibatalkan ini oleh ejen saya sendiri, alasannya sebab dia dapat harga lebih murah.

“Setiap tahun ada kes sebegini tetapi sebelum ini pelanggan ambil kuih yang ditempah tetapi tidak bayar, kali ini batalkan tempahan, jadi saya jual balik.

“Insya-Allah masih berurusan sebab dia batalkan tempahan awal, tak apa saya maafkan tetapi kalau ambil barang, lari tak bayar, itu saya senarai hitam,” katanya yang mempunyai 40 ejen biskut, roti dan donut.

Menurut Ju Anisha, dia tidak mengenakan deposit untuk tempahan terbabit.

“Jika pelanggan tetap atau kenalan memang saya tidak minta deposit sebab kebanyakan ejen saya suri rumah dan ibu tunggal.

“Saya tak nak bebankan ejen saya kerana niat saya berniaga untuk membantu orang lain malah pekerja saya juga ada Orang Kelainan Upaya (OKU) sebab ramai yang tak mahu ambil OKU bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan perkara itu ditularkan hanya untuk tujuan pemasaran.

“Jika ada yang beranggapan ia dibuat untuk tujuan pemasaran, itu salah sebab sejak lima tahun lalu saya memang jual biskut raya pada harga RM12 hingga RM18 sebalang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 10:05 AM