SUHAIZA menyusun pelbagai aneka biskut raya di kedainya. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUHAIZA menyusun pelbagai aneka biskut raya di kedainya. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jualan biskut raya kembali meningkat musim Aidilfitri tahun ini, sekali gus memberi kelegaan kepada pengusaha dan peniaga produk berkenaan.

Tinjauan di zon jualan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pusat beli belah di Tampoi, di sini,mendapati ribuan balang biskut raya moden dan tradisional memenuhi setiap lot niaga di situ,bagi menarik pelanggan.

Orang ramai turut didapati mengunjungi lot berkenaan bagi meninjau serta membuat pembelian biskut raya.

Pengusaha PKS, Suhaiza Ibrahim, 44, yang menghasilkan biskut raya dengan jenama Sue's, berkata, tempahan biskut raya kembali meningkat mendadak berbanding tahun lalu.

"Aidilfitri lalu, saya hanya menghasilkan kira-kira 1,000 balang membabitkan beberapa jenis biskut berikutan tiada tempahan seperti raya tahun sebelumnya.

"Namun musim kali ini saya menerima tempahan sehingga 10,000 balang bagi setiap jenis biskut raya.

"Antara biskut raya yang mendapat tempahan ramai termasuk biskut popular dan klasik iaitu tat nanas dan samperit dahlia selain biskut raya viral seperti biskut onde onde dan butter scotch melting.

"Tempahan meningkat berikutan peniaga PKS di negeri ini menerima permintaan daripada pemborong di Singapura yang meminta kami menghantar bekalan ke republik itu mulai awal Ramadan lalu," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang pengunjung Nor Azura Md Amin, 35, berkata beliau mengambil kesempatan membeli biskut raya musim Aidilfitri kali ini selepas tidak berbuat demikian tahun lalu.

"Tahun lalu, wabak Covid-19 baru menular dengan masyarakat masih berhati-hati sehingga tidak banyak persiapan raya dibuat termasuk membeli biskut raya.

"Namun tahun ini atas permintaan anak-anak dan suami yang mahu merasa biskut raya kesukaan mereka menyebabkan saya ambil keputusan membelinya berikutan harganya yang munasabah berbanding dibuat sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 4:48 PM