Seorang pengemis warga asing ditahan ketika menjalankan kegiatan mengemis di sekitar bandar raya ini. FOTO Ihsan PDRM
Seorang pengemis warga asing ditahan ketika menjalankan kegiatan mengemis di sekitar bandar raya ini. FOTO Ihsan PDRM
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis menahan empat warga asing yang mengemis di bazar Ramadan di sekitar daerah ini susulan aduan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tindakan diambil hasil aduan orang ramai yang tidak berpuas hati terhadap kegiatan mengemis warga asing di bazar Ramadan dan beberapa lokasi tumpuan ramai.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 11 Mac hingga 31 Mac lalu, polis menahan empat warga asing termasuk tiga perempuan dan seorang lelaki berusia 21 hingga 65 tahun.

Menurutnya, mereka didapati menjalankan kegiatan mengemis di lokasi berbeza.

"Dalam serbuan berkenaan, polis merampas beg kain, bungkusan tisu, bekas plastik, plastik, beg galas dan wang tunai RM683.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100, penjara tidak melebihi sebulan atau kedua-duanya sekali.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Raub berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengemis di talian hotline 07-2182323 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 4:45 PM