KESEMUA ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut. FOTO Eizairi Shamsudin
KESEMUA ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut. FOTO Eizairi Shamsudin
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dipaksa mengemis lebih 14 jam setiap hari bagi mengaut pulangan tinggi.

Ringkasan Berita
• JIM membongkar sindiket didalangi seorang lelaki yang memaksa mangsa dalam kalangan warga asing mengemis selama lebih 14 jam sehari
• Sindiket ini menggunakan bayi dan kanak-kanak, yang 'ditidurkan' menggunakan ubat batuk untuk meraih simpati
• Sindiket berselindung di sebalik perniagaan dobi, kedai gunting rambut, dan alat telekomunikasi, serta terlibat dalam pemalsuan dokumen
• Pengemis wanita diwajibkan membawa kanak-kanak untuk mengemis di kawasan Jalan Chow Kit, Masjid India dan Sentul

Itu penderitaan dialami sekumpulan pengemis yang disyaki menjadi mangsa sindiket pengemis warga asing didalangi lelaki warga Pakistan.

Mereka juga dipercayai menggunakan bayi dan kanak-kanak berusia antara 10 bulan sehingga enam tahun yang diberi minum ubat batuk, sebelum dibawa keluar mengemis untuk meraih simpati orang ramai.

Lebih mengejutkan, sindiket yang berselindung di sebalik premis perniagaan dobi, kedai gunting rambut dan alat telekomunikasi itu turut menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen berdasarkan penemuan cap dan puluhan pasport antarabangsa berserta sejumlah wang tunai.

Bagaimanapun, aktiviti haram sindiket itu berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Op Selamat dan Op Serkap di bangunan premis perniagaan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, malam tadi.

Dalam operasi bermula 9 malam, pasukan menyerbu tiga premis perniagaan yang terletak di tingkat bawah bangunan empat tingkat berkenaan dan bilik penginapan warga asing di bahagian atas.

Difahamkan, pasukan serbuan mendapati premis perniagaan dimiliki lelaki berusia 41 tahun yang juga dalang utama itu tidak menjalankan perniagaannya, namun pasukan berjaya menemukan pejabat operasi haram sindiket yang tersembunyi di bahagian belakang premis.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan sejak enam bulan lalu.

"Hasil serbuan, seramai 79 warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia yang berusia antara 10 bulan sehingga 59 tahun diperiksa.

"Daripada jumlah itu, 77 warga Pakistan terdiri daripada 44 lelaki; wanita (22); kanak-kanak perempuan (tujuh); kanak-kanak lelaki (empat); dan masing-masing seorang wanita warga Indonesia serta India, ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk mengemis di sekitar Jalan Chow Kit, Masjid India serta Sentul.

"Warga asing itu mendakwa diarah keluar untuk mengemis seawal 9 pagi sehingga 11 malam dan apabila pulang, mereka perlu menyerahkan hasil kutipan kepada sindiket. Pengemis wanita juga dikehendaki membawa kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai.

Bagaimanapun katanya, JIM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung aktiviti itu.

Kata beliau, siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dengan kesemua ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 8:32 AM